26 May 2020

MIMI LOMA TERJATUH DI RUMAH DUA MALAM SEBELUM AIDILFITRI


Dua malam sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, pelakon dan penyanyi era 1960-an, Mimi Loma telah dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya. Anak saudara Mimi, penyanyi, Rozita Rohaizad memberitahu, ibu saudaranya yang mula sakit sejak 2016, tersungkur di rumah, tetapi dia hanya melakukan urutan pada bahagian sakit.





"Dua malam sebelum kita menyambut Hari Raya, Auntie Mimi tersungkur di lantai rumah. Dia hanya mengambil langkah mudah dengan mengurut saja. Bagaimanapun, pada malam raya, keadaan Auntie Mimi makin teruk hingga tidak mampu berjalan," katanya.

Mimi, 74, atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarhamah Mariani. Mimi aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968.

Rozita berkata, ibu saudaranya masih diberi rawatan lanjut di hospital: "Bagaimanapun, tiada pelawat dibenarkan menziarahinya sekarang," jelasnya.

Rozita berkata, sebelum ini, mata ibu saudaranya itu kabur dan paha kirinya pernah patah. Mimi mempunyai seorang anak dan tiga cucu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: