09 May 2020

KESIHATAN SEMAKIN MEROSOT, MAMPU KERDIPKAN MATA - ZALEHA HAMID TERIMA SUMBANGAN


Difahamkan sejak dua bulan lalu, kesihatan penyanyi vateran bersuara emas, Zaleha Hamid, 65, semakin merosot. Penyanyi itu kini terlantar di atas katil tanpa sepatah perkataan keluar dari mulutnya dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat.





Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata disebabkan keadaan Zaleha yang mesra dipanggil 'Mama' itu memerlukan pemerhatian serta penjagaan rapi, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan bagi memastikan keadaan Zaleha terurus.

Katanya, sejak mengambil keputusan berhenti kerja dua bulan lalu, segala keperluan isterinya termasuk kos susu dan lampin pakai buang menggunakan duit sumbangan peminat yang disedekahkan menerusi akaun maybank Zaleha: "Sejak kena serangan angin ahmar Disember tahun lalu, bahagian kiri anggota badan tidak berfungsi tetapi mama masih boleh bercakap dan menggerakkan anggota badan sebelah kanan.

"Tapi sejak dua bulan lalu, anggota badan sebelah kanannya turut lemah serta tidak mampu berbicara. Saya berinteraksi dengannya melalui kerdipan mata, kalau lapar biasanya mama akan berdehem. Kini dia hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan menerusi tiub sebagai makanan harian.

"Walaupun keadaan mama macam ini, saya yakin dan tidak pernah putus harapan untuk melihat mama sembuh. Rawatan susulan sentiasa dibuat di Hospital Sultanah Aminah (HSA)", tuturnya ketika ditemui di kediamannya di Skudai, di sini.

Menurut Ungku Sulaiman, tiada persiapan raya dibuat tahun ini bagi dirinya dan anak. Namun, untuk Zaleha sudah dibeli baju raya berwarna hijau tua secara atas talian: "Mengenai persiapan raya, tahun ini dengan keadaan kesihatan mama dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada persiapan raya buat kami.

"Tetapi saya ada beli baju raya untuk mama, Insya-Allah saya harap dia panjang umur dan boleh sihat kerana Mama tidak mempunyai penyakit kronik lain. Saya masih berharap mama akan sembuh insa'allah, ajal maut ditangan tuhan, Saya sudah berusaha mudah-mudahan Allah sembuhkan mama seperti sedia kala", katanya sayu.

Nasib Zaleha mendapat perhatian penyanyi dan pelakon, Betty Banafe yang bersama dengan sukarelawan Jom Sedekah Banafe Team. Untuk makluman, antara lagu Zaleha yang popular ialah lagu duet raya berjudul 'Inang di Aidilfitri bersama' Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Kata Betty, biarpun berlainan zaman, tetapi ada kenangan dengan abangnya dari Kumpulan Lela yang pernah berkongsi pentas membuat konsert pada zaman 90-an: "Kita kenal kak Zaleha walaupun tidak rapat tetapi ada kenangan dengan kami terutama abang saya penyanyi Kumpulan Lela pada zaman 90-an buat konsert dengan kak Zaleha.

"Kita cakap dengan team dalam masa dua hari kumpul barangan dan kak Zaleha antara penerima hari ini, kita sangat berbesar hati dapat jumpa bersemuka, sebenarnya saya memang cari kak Zaleha sejak dapat tahu dia sakit, tetapi baru hari ini ditemukan dengan tuhan, rahmat bulan ramadan", ujarnya yang menghulurkan bantuan barangan runcit dan tunai.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: