23 May 2020

PULIH COVID-19 - PUTERI AISHAH TRAUMA KEMBALI KE LOKASI PENGAMBARAN


"Sebagai seorang yang pernah disahkan positif COVID-19, keputusan kerajaan membenarkan kerja penggambaran disambung sangat merisaukan dan mendatangkan trauma buat Puteri. Sejujurnya, Puteri masih belum rasa selamat untuk pergi ke mana-mana kerana pandemik ini masih berleluasa. Kita masih belum menang sebenarnya.





"Walaupun kebenaran sudah diberi, bolehkah semua orang ikut peraturan ditetapkan? Sedangkan, kawasan larangan merokok pun masih ada yang langgar peraturan. Inikan pula rutin normal baharu yang semua orang masih lagi kabur mengenainya," demikian kata pelakon yang pernah dijangkiti COVID-19, Puteri Aishah yang akui trauma untuk meneruskan penggambaran berikutan wabak itu belum pulih sepenuhnya.

Puteri mengaku pengalaman dilalui membuatkan dia bimbang dan skeptikal terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) syarikat produksi. Pada Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Klik untuk gambar besar


Bagaimanapun, syarikat produksi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Kesihatan. Berikutan pengumuman itu, pelbagai reaksi diterima daripada penggiat seni termasuk artis yang takut serta ragu-ragu apakah keselamatan diri dan kru produksi terjamin.

Puteri berkata, selain bimbangkan kru dan artis, dia risau dengan keupayaan diri kerana masih belum dapat menyesuaikan keadaan. Bagaimanapun, Puteri atau nama penuhnya, Puteri Aishah Sulaiman, 25, sedia menimbangkan tawaran jika syarikat produksi memberi jaminan mereka akan mematuhi langkah keselamatan.

"Kalau difikirkan, memang runsing hendak meneruskan penggambaran. Lagipun lokasi penggambaran drama yang tertangguh itu jauh di luar negara. Dengan keadaan sekarang dan pengalaman yang dilalui, Puteri trauma untuk menjalani penggambaran di luar negara.



"Seboleh mungkin Puteri tidak mahu susahkan sesiapa, tetapi Puteri kena fikir keadaan diri dan kesihatan Puteri. Tetapi kalau betul pihak produksi boleh mengikut arahan dan berani memberi jaminan melaksanakan SOP seperti yang ditetapkan, mungkin rasa risau itu kurang sedikit," ujarnya.

Puteri menjadi antara enam tenaga kerja pasukan produksi drama 'Demi' termasuk pengarah, Rahial Ali, yang disahkan positif COVID-19. Mereka menjalani penggambaran di Iverness, Scotland dan pulang ke Malaysia pada 31 Mac lalu.

Pada 18 April lalu, Puteri yang pernah membintangi filem 'Pulang' itu mengesahkan dirinya pulih daripada COVID-19 selepas hampir dua minggu dirawat dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB).


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Puteri Aishah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: