15 May 2020
RISAU KAKAK (OKU) DI KAMPUNG - EBBY YUS TIDAK KESAL PERMOHONAN BPN DITOLAK
Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, pelakon komedi popular, Ebby Yus, 56, rasa bimbang dengan keadaan kakak tersayang, selepas lebih dua bulan tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan. Tidak hanya tinggal bersendirian, kata Ebby, kakaknya yang sudah berusia 60 tahun juga adalah Orang Kurang Upaya (OKU).
"Mujur ada teknologi boleh menghubungkan kami. Jadi, setakat ini, saya hanya mampu menghubungi kakak untuk bertanyakan khabar. Syukur kakak boleh memasak dan berjalan, tidaklah terlalu risau tinggal sendirian. Seorang anaknya menetap di kawasan kira-kira 15 kilometer dari rumahnya. Jadi, bolehlah dia menjenguk dan membantu apa yang patut.
"Cuma kakak saya ini, lebih selesa bercakap dengan saya. Kami faham antara satu sama lain. Apabila memikirkan, hati terasa kerana sudah lama tidak pulang menjenguk dia," ujar anak kelahiran Batu Kikir ini.
Apatah lagi, memikirkan Syawal bakal tiba, kerinduan lebih dirasakan. Bagaimanapun, Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid reda menyambut Syawal di ibu kota: "Tahun ini, saya beraya di rumah di Kampung Baru sahaja.
"Iyalah, disebabkan kita semua tak boleh pulang ke kampung, saya sambut bersama kawan-kawan di sini. Sebenarnya, sejak orang tua meninggal dunia, saya jarang balik ke kampung. Kalau pergi pun untuk menjenguk kakak. Jadi, beraya di sini secara solo tidaklah terasa sangat," katanya.
Klik untuk gambar besar
Bertanya perkembangan kesihatan selepas disahkan mengalami kebocoran pada buah pinggang pada tahap tiga sejak dua tahun lalu, Ebby berkata, dia hanya mampu berdoa supaya kesihatan tidak bertambah teruk.
"Alhamdulillah, setakat hari ini, saya sihat. Tapi kalau hendak bercakap mengenai perkembangan buah pinggang, saya tidak tahu kerana kerana kali terakhir saya menjalani pemeriksaan adalah tiga bulan lalu. Kalau nak diikutkan, minggu lalu, saya sepatutnya ada pemeriksaan kesihatan tetapi ditunda kepada Oktober, berikutan PKP. Namun, saya bersyukur sebab boleh bergerak dan bekerja seperti biasa," jelasnya.
Selain penyakit buah pinggang, Ebby juga mengalami masalah lemah jantung, diabetes, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat. Menyentuh mengenai ibadat puasa, Ebby tidak berdepan masalah walaupun mengalami masalah gastrik.
"Saya ada masalah gastrik yang kronik sejak lima hingga enam tahun yang lalu. Tapi setiap kali Ramadan, Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Jujurnya, setiap tahun saya risau kerana perlu makan setiap dua hingga tiga jam. Tapi bersyukur sampai hari ini, saya mampu berpuasa penuh," tuturnya.
Berkongsi soal karier, Ebby bersyukur walaupun menghidap penyakit yang mengakibatkan pergerakan agak terhad, dia masih ditawarkan bekerja. Januari lalu, Ebby menjadi penyampai radio undangan di Negeri FM.
Bagaimanapun, sepanjang pelaksanaan PKP, Ebby direhatkan kerana tidak boleh berulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban: "Untuk ke udara, saya perlu ke konti di Seremban setiap Khamis dan Jumaat. Namun, disebabkan PKP, saya direhatkan. Kerja saya diganti petugas lain," katanya.
Sebagai pelakon yang tidak mempunyai pendapatan tetap, Ebby mengaku kehidupan ketika PKP, agak mencabar: "Tapi saya bersyukur dalam tiada kerja. Jujur saya cakap, rezeki tetap ada di mana ada bayaran 'job' yang saya lakukan sebelum ini, diterima dalam tempoh PKP.
"Selain itu, ramai yang menghulurkan sumbangan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan rakan-rakan artis. Malah, membuatkan saya lebih terharu ada sumbangan daripada peminat Singapura. Saya sudah berkeras menolaknya. Tapi individu terbabit beritahu niatnya ikhlas bersedekah. Bukan nak menunjuk, tapi saya rasa ini adalah suatu penghargaan tidak ternilai bagi saya," katanya.
Sehubungan itu, Ebby tidak kesal apabila permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dikemukakan, ditolak kerana disangka masih memiliki restoran: "Sebelum saya sakit, saya sudah tidak mendapat apa-apa pulangan daripada restoran itu.
"Jadi, mereka sangka saya ada syarikat. Disebabkan itu, permohonan saya tidak diluluskan. Tiada rezeki saya, Allah beri jalan lain. Saya tidak suka meminta-minta sebab saya masih larat bekerja. Jadi tidak mengapa, dengan rezeki yang Allah beri sekarang ini, saya sangat bersyukur," katanya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment