26 May 2020

SHEILA RUSLY BEREHAT SEMENTARA DARI LAKONAN: "MEMANG SAYA MERAJUK... INI BUKAN GIMIK"


Dek kerana rasa kecewa terhadap orang dalam industri, pelakon yang terkenal dengan watak 'Opah Aminah', Sheila Rusly mengakui dia nekad mengambil keputusan untuk mengundur diri buat sementara waktu dalam bidang lakonan. Sheila, 49, berkata kekecewaan itu timbul apabila segala usaha kerasnya menghasilkan sebuah karya demi kepuasan penonton tidak mendapat sedikit penghargaan.





"Memang saya merajuk dengan industri sebab saya rasa sebagai anak seni, saya menggunakan platform sebagai penerbit memberi kelainan kepada industri tapi usaha saya orang pandang sambil lalu saja. Cerita-cerita bergenre biasa ini yang mereka rasa harus dihargai. Saya bila buat apa-apa benda bukan mengharapkan balasan tapi bila kita dah berikan full effort, tak dapat penghargaan mestilah kecewa.

"Saya hanya minta sedikit penghargaan supaya kerja keras saya rasa berbaloi. Itu saja. Dalam masa sama, saya percaya pada rezeki dan mungkin Allah kata belum rezeki. Tapi sebagai manusia biasa, mestilah ada perasaan terkecil hati, tersedih dan terkecewa. Saya hasilkan sesebuah karya dengan bersungguh-sungguh untuk kepuasan penonton," katanya.

Pada 30 November tahun lalu, suami kepada Sheila iaitu pengarah Jinggo mendedahkan isterinya itu berhasrat untuk mengundur diri buat sementara waktu. Menurut Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya, Sheila meluahkan beberapa perkara yang mendorong isterinya memendam perasaan sehingga nekad untuk berehat.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Sheila menegaskan keputusan tersebut dibuat bukan untuk meraih perhatian atau gimik semata-mata namun dia hanya ingin mengotakan kata-katanya. Malah menurut Sheila, drama 'Bukan Gadis Biasa' yang ditayangkan menerusi Slot Akasia TV3 itu merupakan lakonan terakhirnya sebelum dia berehat sementara dari dunia lakonan.

"Saya memang nak berehat, bila saya cakap itu maknanya saya akan buat. saya bukan hanya cakap tapi tak buat. Ini bukan gimik dan bukan sekadar bercakap untuk dapatkan perhatian. Sekarang ini, saya tak kata saya sudah kembali berlakon. Drama 'Bukan Gadis Biasa', buat masa ini itu la drama terakhir saya berlakon sebelum saya berehat sekejap.

"Saya tak tahu berehat sampai bila tapi mungkin sampai saya dapat satu naskah yang terpanggil untuk saya berlakon semula. Insya-Allah saya akan kembali kalau watak itu mencabar saya sebagai seorang pelakon, tapi kalau watak biasa, bagi la kepada orang uyanh lebih memerlukan platform tersebut," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: