21 June 2020

AWIE ZIARAH AMRAN TOMPEL: "INI ADALAH LAWATAN & KUNJUNGAN SYAWAL BAGI BERI BANTUAN"


Baru-baru ini, Datuk Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman telah bersama kira-kira 20 ahli kumpulan Wings Motor Gang Society (WMGS) dan Kelab Wings tampil menziarah pelakon veteran, Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel, 70, yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lebih tiga bulan lalu, di rumah sewa anaknya, di Taman Matahari Height, Senawang, hari ini.





Awie berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana dapat hadir bersama rakan-rakan permotoran daripada kelab WMGS dan Kelab Wings untuk menziarahi Amran iaitu rakan artis yang sama-sama berjuang di bidang seni.

"Ini adalah lawatan dan kunjungan Syawal sebagai tanda silaturahim dan persahabatan bagi memberikan sedikit bantuan untuk meringankan beban rakan kita, abang Amran. Ini adalah cara yang kami selalu lakukan untuk membantu golongan dan rakan-rakan yang tidak sihat.

"Ini satu petanda yang baik dan sebagai rakan artis, saya bersyukur kerana dapat bersama dalam program amal seperti ini. Ini masa dia (Amran) dan masa saya tidak tahu lagi. Sebagai insan seni, begitulah hakikatnya bahawa kita ini tiada gaji seperti orang lain, ada kerja ada gaji dan tiada kerja tiada gaji.

"Namun syukur Alhamdulillah, kerana saya dapat buat kerja kebajikan macam ini dengan sokongan rakan-rakan saya yang sama-sama ingin membantu dan membuat amal untuk rakan-rakan artis. Kalau ada rezeki, kita akan lihat apa yang perlu dan boleh dibantu buat abang Amran ini pada masa hadapan," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani. Awie berkata, beliau akui golongan artis perlu bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.

"Kita tidak tahu pada masa hadapan apa akan berlaku namun dengan adanya rakan-rakan yang prihatin dan memberikan sokongan, sekurang-kurangnya kita dapat dibantu. Ini yang kami (Kelab Wings) dapat lakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan program amal ini akan berjalan berterusan," ujarnya.

Katanya, WMGS dan Kelab Wings berusaha membantu mengikut kemampuan yang mereka ada bukan sahaja membabitkan kalangan artis tetapi juga golongan kurang bernasib baik terutama anak yatim: "Kami sudah lama melakukan aktiviti amal ini tetapi biarlah secara tertutup.

"Yang penting kita dapat membantu. Kami juga bercadang untuk menziarah rakan artis lain yang tidak sihat seperti Hamid Gurkha dan ahli kumpuan EXPDC serta balu kepada Allahyarham Yazid (kumpulan Search)," tuturnya.

Sementara itu, anak bongsu Amran, Suhaili, 20, berkata, ketika ini ayahnya tidak boleh uruskan diri sendiri selepas mengalami angin ahmar Mac lalu. Malah katanya, ayahnya juga tidak boleh makan makanan yang keras kecuali minum sahaja.

"Bila ayah menyuap makanan beliau akan muntah semula. Mungkin perutnya tidak dapat menerima makanan dan saya hanya memberikan beliau susu. Namun, saya dan adik beradik lain perlu menjaga beliau dengan baik termasuk memastikan aktiviti fisioterafi dibuat setiap hari sebagai satu daripada kaedah rawatan yang perlu dilakukan," jelasnya.

Amran Tompel pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990an sehingga 2014 dan sebelum ini pernah diserang angin ahmar. Namun serangan kali kedua berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: