29 June 2020

BERGELAR IBU TUNGGAL LEBIH 14 TAHUN - DJ LIN IMPI ADA JODOH, BERHARAP MILIKI ZURIAT SENDIRI LAGI


"Naluri keibuan saya memang sangat kuat dan saya masih berharap suatu hari nanti dapat tambah zuriat. Apalagi anak bongsu saya sendiri iaitu Nazren sudah bertanya nakkan adik pula. Apapun, saya katakan kepadanya jodoh itu semua di tangan Tuhan. Namun begitu, jujur saya sendiri memang masih menyimpan hasrat untuk timang cahaya mata.





"Lagipun, saya memang tiada masalah kesuburan meskipun pada usia sekarang. Kalau boleh, saya memang nak zuriat sendiri tanpa mengambil anak angkat," kata penyampai radio popular DJ Lin yang mengakui dia masih berharap dapat menambah zuriat jika ditakdirkan bertemu jodoh pada masa hadapan.

DJ Lin atau nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 45, berkata dia berdoa semoga impian itu akan jadi kenyataan suatu hari nanti disebabkan dia memang sangat sukakan kanak-kanak. Bagaimanapun, DJ Lin mengakui dia tidak pernah menekan dirinya untuk memikirkan soal jodoh. Baginya, seluruh hidupnya sekarang sangat berwarna-warni dan dia seronok menjalaninya setiap masa.

"Kalau ada jodoh untuk saya kembali berumah tangga suatu hari nanti, saya tidak menolaknya. Lagipun, saya sendiri sudah bergelar ibu tunggal lebih 14 tahun. Namun begitu, saya okay saja memandangkan semuanya lengkap dalam kehidupan sekarang. Dua anak saya pun sudah besar panjang dan sekarang saya boleh fokuskan sepenuh perhatian dengan kerjaya di konti radio," tuturnya.

DJ Lin yang juga Pengurus Kanan Suria FM , bagaimanapun tidak pernah terbeban apabila diajukan soalan berhubung jodoh mahupun kisah peribadi: "Pertanyaan begitu normal saja bagi saya. Biasalah putaran kehidupan memang begini di mana ramai pastinya ambil berat dan mahu mendoakan kebahagiaan saya," katanya.

Dalam pada itu, DJ Lin turut memulakan perniagaan sambal kicap bagi membantu peminatnya yang terjejas selepas pandemik Covid-19. Dia mengambil inisiatif terbabit sebagai langkah bersedekah dengan menetapkan harga lebih murah untuk produknya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: