07 June 2020

KEMBALI DENGAN 'SINAR KEDUA' - NAQIU BERSYUKUR DIBERI PELUANG SELEPAS 12 TAHUN MENYEPI


Sebegai tanda titik permulaan karier solonya, penyanyi Naqiu kembali dengan single terbaharu berjudul 'Sinar Kedua'. Berbekalkan bakat yang versatil, Naqiu bersinar kembali sebagai penyanyi dan komposer. Tidak dinafikan, kemunculan Naqiu dirindui oleh peminat, apatah lagi Naqiu dan kumpulan remajanya, Boboy pernah menjadi fenomena pada era 2000.





Bagaimanapun bekas vokalis kumpulan Boboy ini pernah mengambil keputusan untuk menyepi selama 12 tahun demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga yang sedang dibina. Bahkan Naqiu juga pernah menjadi penyanyi kelab selama tempoh mendiamkan diri dari industri seni tanah air.

Kemunculan semula Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin bin Mohd Najib sebagai pesaing sengit bagi sebuah program televisyen, Gegar Vaganza menjadi fenomena yang akhirnya menobatkan Naqiu sebagai Juara Gegar Vaganza musim ke-6. Kini, penyanyi yang popular dengan lagu 'Episod Cinta itu' bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder Sdn Bhd sejak tahun 2019.

'Sinar Kedua' adalah taruhan terbaharu Naqiu yang telah pun dilancarkan pada 23 Mac 2020 di laman Youtube dan telah memperoleh hampir 353,000 tontonan selepas satu minggu dikongsikan di akaun Youtube MVM Production.

Klik untuk gambar besar


Lagu 'Sinar Kedua' yang diterbitkan oleh MindOrder Sdn Bhd ini merupakan karya sepenuhnya oleh Naqiu. Muzik video 'Sinar Kedua' yang merupakan arahan Murshid Eunos dan produksinya Neon Pixel ini masih berada di carta video trending di Youtube sehingga kini.

Lagu 'Sinar Kedua' ini mengisahkan tentang luahan Naqiu yang menghargai dan mensyukuri peluang kedua dikurniakan oleh Tuhan kepadanya selepas 12 tahun menyepi daripada dunia seni nyanyian. Segala-galanya bermula selepas bintang dari Johor ini menyertai pengurusan MindOrder Sdn Bhd dan Gegar Vaganza 6 yang lalu.

Pada permulaan muzik video 'Sinar Kedua' ini terdapat bait kata "Untuk Mama..." yang memberikan mesej bahawa karya Sinar Kedua ini ditujukan khas buat ibunda tercinta. 'Sinar Kedua' boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox dan Joox.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Naqiu


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: