29 June 2020

KETEPI ISU HUTANG - KHIR RAHMAN PROFESIONAL BERGANDINGAN DENGAN OGY DALAM TELEFILEM


Semua mengetahui mengenai isu diantara pelakon dan pengarah, Khir Rahman dengan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy berhubung hutang yang sebelum ini hangat diperkatakan. Namun begitu, Khir memilih untuk bersikap profesional digandingkan bersama Ogy dalam telefilem 'Pencipta Pegang Waktu' (TV3) yang baru selesai menjalani penggambaran pada Isnin.





Khir atau nama sebenarnya Khairulizam Abdul Rahman, 47, berkata isu tuntutan bayaran tertangguh teater 'Korupsi Dewan Semandung' hanya membabitkan mereka berdua dan tiada kaitan dengan produksi telefilem berkenaan.

"Ini pertama kali kami bergandingan semula selepas isu itu... apabila berada di set penggambaran saya kena profesional sebab yang ada masalah hanya kami berdua, tenaga kerja lain tak ada kaitan, jadi tak bolehlah bawa masalah itu ke lokasi.

Klik untuk gambar besar


"Saya sebagai pihak yang menuntut hutang mungkin tak rasa janggal sangat, tapi di pihak dia mungkin ada rasa lain! Apa-apa pun saya cuba elakkan rasa serba salah itu supaya penggambaran kami semua lancar. Alhamdulillah proses penggambaran berjalan baik tanpa timbul sebarang isu. Kami dah kenal lama dan industri kita pun kecil... ke mana pergi tetap akan berjumpa!" katanya.

Pada Ahad lalu, tersebar foto Khir bersama Fauziah atau Ogy dan Que Haidar menjalani penggambaran telefilem tersebut di laman Instagram. Rata-ratanya memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh Khir sepanjang berlakon dalam telefilem istimewa sempena Aidiladha ini.

Pada Mei lalu, beberapa pelakon teater 'Korupsi Dewan Semandung' memuat naik status di laman sosial mendakwa Ogy mendiamkan diri selepas didesak untuk melunaskan bayaran tersebut. Namun, Ogy yang juga pemilik Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn Bhd, menafikan dia melarikan diri dan memberitahu sedang berusaha mencari dana bagi menyelesaikan bayaran tertunggak itu.



Sementara itu, Khir berkata, dia sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak produksi mengenai penglibatan Ogy dalam telefilem berkenaan: "Ya! saya tahu Ogy ada berlakon sekali setelah dimaklumkan produksi... saya tiada masalah untuk berlakon sama. Saya dan Ogy sudah kenal lama, dia tahu saya bukan orang yang suka buat hal dan dia tahu saya sentiasa profesional apabila membabitkan hal kerja," ujarnya.

Ditanya mengenai bayaran teater 'Korupsi Dewan Semandung' yang masih belum dilunaskan, Khir berkata mereka masih belum menerima bayaran tertangguh itu. Bagaimanapun dia dapat melihat usaha yang dilakukan oleh pelakon filem 'Ali Setan' itu dalam menyelesaikan masalah itu.

"Soal bayaran belum tahu lagi bila akan selesai. Saya pun tak mahu hukum dia atas apa yang berlaku tapi saya nampak usaha itu ada. Buat masa ini kita dah tak boleh ikut kontrak perjanjian itu... dia dapat bayar sikit-sikit pun kita terima!," tuturnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Ogy Ahmad Daud, @ctjasmina & @black7574


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: