11 June 2020

MAK JAH CUCI, JAHIT TELEKUNG WAKAF - MAHU KUMPUL PAHALA UNTUK BEKALAN AKHIRAT


Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 9 Jun lalu, pelakon veteran Mak Jah, 72, tidak dapat melakukan kerja-kerja amal yang sering dilakukan iaitu mencuci telekung wakaf di surau yang terletak di pusat beli-belah dan kawasan rehat dan rawat (R&R), berdekatan kediamannya, apabila terpaksa duduk di rumah.





Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad rindu untuk melakukan kerja-kerja terbabit. Mak Jah ketika dihubungi berkata, dia juga berbesar hati apabila kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai semalam hingga 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, malang buat Mak Jah apabila dia pula ketika ini tidak sihat dan tidak boleh banyak berjalan: "Sekarang saya cepat sakit punggung apabila banyak berjalan. Jadi, anak-anak tak benarkan saya memandu kereta untuk ke mana mana lagi. Saya diminta berehat sepenuhnya di rumah, tapi saya minta juga mereka bawa balik telekung yang tidak elok, kotor dan koyak supaya boleh dicuci di rumah.

"Saya nak basuh, keringkan, gosok dan lipat. Mana telekung yang koyak pula, saya nak jahit dahulu dan baikinya supaya boleh diguna semula. Kemudian, saya minta anak-anak tolong hantarkan telekung berkenaan di masjid atau surau berdekatan," katanya.

Mak Jah berkata, dia sudah melakukan kerja amal mencuci telukung wakaf itu sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha mengumpul pahala untuk bekalan akhiratnya. Menurutnya, matlamat utamanya sekarang ialah mengumpul bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.

Katanya, ketika usia muda, dia pernah lalai kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Sebelum ini, Mak Jah mendedahkan dia gagal menebus barang kemas digadainya untuk menampung kos rawatan kanser rahim tahap satu yang dihidapinya tiga tahun lalu.

Bersyukur keadaannya semakin baik, Mak Jah berkata dia kini sangat menjaga kesihatan serta memastikan mengikuti rawatan pemeriksaan berkala di hospital dan klinik kesihatan. Selama aktif dalam lakonan sejak 1990-an lalu, Mak Jah yang menetap di Ampang, Selangor, sudah membintangi lebih 100 drama dan puluhan filem.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: