08 June 2020

MASUK HOSPITAL - ZAIN SAIDIN BERJANJI TIDAK MAHU BERLENGAH-LENGAH DALAM SOAL KESIHATAN


Suami kepada pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau Che Ta iaitu pelakon Zain Saidin, 36, telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, kelmarin, akibat jangkitan pundi kencing. Bagaimanapun, Zain memaklumkan dirinya, stabil.





"Saya mula sakit pada pinggang hingga ke belakang badan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu, saya fikir, mungkin boleh berjumpa doktor selepas tamat PKP. Namun, sangkaan saya meleset. Pagi Sabtu lalu, saya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad," tuturnya.

Zain berkata, dia tidak mahu lagi berlengah-lengah jika membabitkan soal kesihatan: "Takut dibiar lama nanti timbul komplikasi lain pula. Saya stabil setakat ini... Alhamdulillah," katanya.

Klik untuk gambar besar


Tambah pelakon sitkom 'Oh My English!' itu, kali terakhir dia dimasukkan ke hospital, kira-kira lima tahun lalu kerana pembedahan lutut: "Selain itu, doktor beritahu bacaan kolestrol saya tinggi. Jika diikutkan sejarah keluarga, kami sering berdepan masalah ini. Jadi, perkara itu bukanlah pelik," jelasnya.

Bapa kepada Aaisyah Dhia Rana ini sedar sakit tidak pernah mengenal usia: "Dahulu, firasat saya, sakit akan datang ketika berusia. Saya anggar pada usia 40 tahun, kalau sakit kita sakit, ia normal.

"Tetapi, apabila sudah jatuh sakit sekarang, saya anggap ia suatu peringatan untuk kita berjaga-jaga. Walaupun saya aktif bersenam, kalau hendak sakit, ia akan datang. Jika kita sakit, duit banyak pun tidak memberi makna. Sebab itulah ada pepatah berbunyi mencegah itu lebih baik daripada mengubati," katanya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Rozita Che Wan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: