01 June 2020

"MOGA ALLAH BALAS..." - AISHAH KONGSI VIDEO BAPA SAUDARA DISERET PEMANDU MABUK SEJAUH 2KM


Pelakon Aishah Azman menerusi laman Instagram telah berkongsi berita sedih tentang mangsa langgar lari pemandu mabuk yang dilaporkan media pagi Isnin adalah bapa saudaranya iaitu Mohamed Zaili Mohamed. Aishah, 24, berkata buat masa kini jenazah arwah adik kepada ibunya itu masih di unit forensik dan berkemungkinan akan dikebumikan pada malam ini atau pagi, Selasa.





"Ya... pak cik saya iaitu adik kepada ibu meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk. Jenazah masih dalam unit forensik sebab ada pendarahan di bahagian kepala dan badan.

"Insya-Allah jenazah arwah akan dikebumikan malam ini atau pagi esok. Semua ahli keluarga sekarang ini masih menunggu keputusan dari pihak unit forensik. Setiap keluarga hanya boleh hantar wakil seorang menunggu di hospital," kata Aishah.

Terdahulu pemilik nama Nor Aishah Afika Azman Shah ini berkongsi video yang memperlihatkan motorsikal arwah Mohamed Zaili Mohamed diseret kereta terbabit sejauh dua kilometer di laman Instagramnya pada Isnin. Difahamkan, kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Klik untuk gambar besar


Kejadian tersebut berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Ketika dalam perjalanan, motosikal jenis honda EX5 yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta (MPV) yang dipercayai dipandu oleh lelaki mabuk. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Suspek yang berusia 21 tahun itu memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa berdekatan dengan lokasi kejadian selepas ditahan oleh orang awam. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, menerusi Instastory Aishah berharap pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang setimpalnya terhadap pemandu tidak bertanggungjawab tersebut: "Aku mohon pada pihak yang berkenaan untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal pada pemandu tak bertanggungjawab ini. Moga Allah membalas segala apa yang dilakukan pemandu mabuk ini," tulisnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Aishah Azman


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: