18 June 2020

NAFI KURUS KERANA BARANG TERLARANG - AYIE FLOOR 88 CUBA TAMBAH BERAT BAGI TUTUP MULUT


"Sebenarnya saya dalam proses nak besarkan badan sebab bila kurus ini ramai orang tuduh saya ambil barang terlarang!" demikian kata vokalis kumpulan Floor88 iaitu Ayie yang kini sedang dalam proses menambah berat badan selepas menerima pelbagai tuduhan negatif daripada netizen berikutan tubuh yang agak kurus.





Menurut Ayie, 23, dia telah mencuba pelbagai teknik untuk menambah berat badan, namun sehingga kini usahanya itu masih belum berjaya: "Sebab nak tutup mulut orang, saya makan banyak tapi sampai sekarang masih badan macam ini... mungkin faktor genetik sebab dari dulu memang kurus. Makanlah banyak mana pun, berat saya tetap dalam lingkungan 50 kilogram sahaja.

"Saya ada cuba ambil vitamin yang sesuai untuk naikkan berat badan. Malah, kami pun ada dapat tajaan latihan di gimnasium tapi malangnya saya bukan jenis yang rajin nak turun bersenam di gim... jadi banyak makan dan tidur sahaja," kata penyanyi lagu 'Yang Benar'.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Ayie berkata dia tidak berkecil hati dengan tuduhan tidak berasas itu kerana dirinya lebih mengetahui situasi yang sedang dihadapi. Malah, dia juga sudah membuktikan dirinya bebas dari sebarang bahan terlarang apabila menjalani ujian dan mengikuti kempen yang dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu.

"Saya tak kecil hati pun sebab saya tahu apa saya buat... memang dari dulu orang tegur fasal saiz badan saya yang kecil ini. Sebab itu tahun lepas, kami ahli kumpulan semua pergi berjumpa AADK dan minta buat ujian air kencing dan terbukti negatif.



"Malah, kumpulan Floor88 dipilih menjadi ikon Antidadah 2019/2020. Alhamdulillah, keluarga pun faham situasi saya hadapi ini dan dari dulu lagi mereka pernah minta saya naikkan berat badan sikit," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ayie memberitahu dia kini dalam perancangan membuka sebuah kafe yang dijangka akan memulakan operasi, Julai depan: "Sekarang ni kita tengah buat pengubahsuaian kafe di Setapak, Kuala Lumpur... memang impian saya nak ada kedai makan untuk cari duit tambahan.

"InsyaAllah kafe itu akan diberi nama Ayie Elham Cafe... awal-awal operasi ini saya minta tolong famili jagakan dulu sebab bajet pun tak banyak lagi nak upah pekerja. Selepas ini selain nyanyian, bidang perniagaan pun kena beri tumpuan lebih. Doakan semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Ayie Floor 88


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: