03 June 2020

"SEBAB KECAMAN ALLAH NAIKKAN DARJAT" - SHEILA BERSYUKUR 'BUKAN GADIS BIASA' RAIH 27 JUTA TONTONAN


"Alhamdulillah, sudah tentu saya sentiasa bersyukur. Macam saya selalu cakap, setiap kejadian mesti ada hikmah, setiap kesedihan ada kegembiraan dan setiap kepayahan ada kesenangan. Walaupun orang kecam dan cakap macam-macam mengenai saya dan produksi saya, tapi saya percaya ada benda lain yang Allah nak beri. Jadi, ini (kejayaan) agaknya hikmahnya.





"Saya tak ada simpan dendam kepada sesiapa yang pernah mengutuk, menghina dan mencaci saya, produksi dan pelakon yang terlibat dalam drama itu. Malah, saya ucap terima kasih kepada mereka. Mungkin disebabkan kecaman mereka, itulah Allah naikkan darjat drama 'Bukan Gadis Biasa'," demikian kata pelakon dan penerbit Sheila Rusly.

Kejayaan drama bersiri, 'Bukan Gadis Biasa' yang muncul drama tontonan tertinggi sepanjang Ramadan disifatkan Sheila sebagai hadiah untuk orang yang sabar.Selain itu, drama sebanyak 28 episod arahan Azman Yahya atau Jinggo itu juga berjaya meraih 11 juta penonton selepas ditayangkan. Lebih 27 juta tontonan pula diperoleh menerusi platform digital Tonton, saluran YouTube TV3 dan Drama Sangat.

Drama 'Bukan Gadis Biasa' menemui penonton sepanjang Ramadan di saluran TV3 menerima pelbagai kritikan sejak ditayangkan pada 23 April lalu. Selain watak Opah Aminah lakonan Sheila Rusly yang dikatakan tidak realistik, drama itu turut dikecam kerana teknik suntingan tidak kemas dan penggunaan kata ganti diri digunakan Jo lakonan Ayda Jebat terhadap Opah Aminah yang dikatakan kasar.

Selain Sheila dan Ayda, drama berkenaan turut dibintangi Remy Ishak, Lia Natalia, Nazim Othman, Idzham Ismail, Mas Khan dan ramai lagi. Sheila berkata, dia terharu dengan pencapaian drama berkenaan.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, drama 'Bukan Gadis Biasa' berjaya menjentik hati penonton. Tentunya, ia hadiah yang cukup bermakna berkat kesabaran keseluruhan produksi yang menjayakan drama ini. Walaupun dikecam, nyata masih ramai menonton drama bersiri ini.

"Itu bermakna ada sesuatu dalam drama 'Bukan Gadis Biasa' yang membuatkan penonton tertunggu dan masih ingin menonton. Saya percaya mesej disampaikan dalam drama ini bertepatan dengan tema Ramadan. Biarpun ramai mengecam, cuba mencari kelemahan dan kesilapan, tetapi ada mesej yang terselit dalam drama ini hingga menyebabkan penonton mahu terus menyaksikannya hingga episod akhir," ujarnya.

Drama 'Bukan Gadis Biasa' adalah adaptasi novel karya Liza Nur yang mengisahkan mengenai Johana, anak seorang penjenayah dan penagih dadah yang berusaha untuk keluar daripada dilabel gagal. Dia ingin melihat masa depan yang cerah buat si kecil, Aisyah yang memanggilnya emak.

Hati Johana yang kosong terperangkap dalam cinta tiga segi daripada tiga jejaka, Amirul (Mas Khan), Rayyan (Remy) dan Amer (Nazim) yang menaruh hati padanya. Sheila berkata, dia bersyukur kerajaan membenarkan syarikat produksi menyambung semula penggambaran, Rabu depan.



Dalam perkembangan lain, Sheila memberitahu dia akan memulakan penggambaran drama baharu selepas aktiviti tersebut dibenarkan. Bagaimanapun, dia masih dengan pendiriannya untuk berehat seketika dalam dunia lakonan dan segala urusan produksi akan diuruskan suaminya, Jinggo dan dua orang anaknya, Uzair Haqimy serta Luth Mikhail.

"Setakat ini, JS Pictures berehat seketika berikutan tiada penggambaran yang tertangguh. Saya hanya akan memulakan kembali penggambaran selepas Aidiladha dan ingin memberi laluan kepada syarikat produksi yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlebih dahulu," katanya.

"Tidak akan ada drama 'Bukan Gadis Biasa 2' sebab Opah Aminah pun sudah mati. Insya-Allah selepas ini saya akan terbitkan drama yang berbeza genre tapi tunggu PKP tamat baru akan mulakan penggambaran.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, saya tidak akan berlakon kerana ingin berehat seketika sehingga dapat tawaran yang mencabar saya sebagai anak seni. JS Picture akan terus aktif terbitkan drama tapi di belakang tabir ada suami dan anak-anak. Saya mungkin akan ada bila perlu sahaja," ujarnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Berita Harian & Instagram Sheila Rusly


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: