21 June 2020

SUGU PAVITHRA NAFI HIDUP MAKIN MEWAH, CADANG CARI KERJA TETAP: "RUMAH BAHARU BUKAN BELI, SEWA RM400 SEBULAN"


Semua sedia maklum mengenai pengendali saluran YouTube Sugu Pavithra, M. Sugu yang baru-baru ini berpindah ke rumah baharu. Mesti ramai yang ingat hidup pasangan ini semakin mewah sejak video masakan mereka di Youtube menjadi viral. Ekoran video tersebut, ramai yang membuat andaian mendakwa pasangan tersebut kini benar-benar menjana pendapatan tinggi di YouTube sehingga mampu berpindah ke rumah baharu.





Bagaimanapun, pasangan ini menafikan dakwaan yang mereka berpindah kerana memperolehi sumber pendapatan lumayan hasil video masakannya di Youtube. Sebaliknya, Sugu memberitahu, selepas membuat keputusan berhenti kerja, dia tidak boleh terus tinggal di sana memandangkan rumah tersebut merupakan kuarters yang disediakan khusus buat pekerja ladang sahaja.

"Dulu saya tinggal di kuarters, jadi apabila sudah berhenti kerja, saya kena cari rumah lainlah. Rumah baharu ini pun bukan saya beli, saya hanya menyewa dengan membayar RM400 sebulan," jelasnya yang sebelum ini berkongsi pengalaman dia dan suaminya berpindah ke rumah baharu di Sungai Siput, Perak.

Dalam pada itu, kata Sugu, selepas ini, dia tetap berhasrat untuk mencari pekerjaan lain sebagai sumber pendapatan tetapnya dalam menyara keluarga: "Semua orang mahu berikan yang terbaik buat keluarga, begitu juga saya. Saya pun ingat nak cari kerja lain selepas ini. Tak bolehlah duduk rumah lama-lama. Tengoklah, mungkin kerja kilang ke atau apa sahaja yang ada dekat sini nanti," katanya.

Begitupun, menurut Sugu, dia akan terus tetap memberikan komitmennya bersama isteri, S. Pavithra dalam menghasilkan video-video masakan seperti biasa: "Tak apa, kalau saya kerja nanti, masih ada masa di rumah untuk buat video pada waktu petang," ceritanya.

Sebelum ini, kisah pasangan suami isteri keturunan India ini menerima perhatian rakyat Malaysia selepas video masakannya yang ringkas di YouTube menjadi viral. Bahkan, pasangan yang menggunakan nama saluran Sugu Pavithra di YouTube itu juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sehingga kini Sugu Pavithra mempunyai lebih 600,000 subscribers di YouTube.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: