29 July 2020

ADIBAH NOOR DEDAH MASA PKP TERPAKSA JUAL RUMAH & GADAI BARANG KEMAS



"Pekerja-pekerja seni macam saya yang berada di depan kamera dan di atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif dalam bidang seni. Hakikatnya masa PKP dulu, saya memang tiada pekerjaan langsung sekali gus tiada pendapatan.



"Jadi selepas PKP iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya," demikian luah penyanyi dan pelakon Adibah Noor yang tampil membuat pendedahan tentang keadaan dirinya yang turut bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik COVID-19.

Umum mengetahui susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat mencari rezeki seperti biasa termasuklah penggiat seni apabila segala aktiviti hiburan dihentikan.

Adibah mendedahkan dia juga terpaksa menjual rumah dan memajak barang kemas miliknya demi menampung kehidupan. Pendedahkan itu dibuat Adibah dalam video pendek yang dimuat naik di laman Twitter, berikutan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

Klik untuk gambar besar

Jelasnya, meskipun selepas PKP dia sudah mula menerima tawaran berlakon dan menyanyi, namun bayaran yang diterimanya tidak lagi sama sebagaimana sebelum bermula pandemik Covid-19, malah jauh lebih rendah.

Menerusi perkongsian itu, Adibah tidak malu mengakui terpaksa menjual rumah dan memajak barangan kemasnya. Ujarnya, dia juga sama seperti mereka di luar sana yang berdepan kesempitan selepas ketika PKP dan sentiasa mencari jalan untuk menjana pendapatan.

"Saya tak malu untuk memberitahu, banyak benda yang saya dah jual. Saya jual rumah, barang kemas pun ada di pajak gadai. Saya tak malu nak bagitahu yang saya juga mengalami kesusahan atau kesukaran dari segi kewangan, tapi kita cuba cari jalan sendiri," katanya.


Dalam masa sama, Adibah berkata pengakuan tersebut bukanlah untuk menagih simpati tetapi ingin memaklumkan bahawa kehidupan serta pendapatannya turut terkesan akibat pandemik serta meminta maaf kerana dia tidak dapat menghulurkan bantuan.

"Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati, cuma saya nak bagitahu hakikatnya saya juga mempunya masalah saya yang tersendiri. Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri. Apa-pun saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita," ujarnya.

Adibah bagaimanapun tetap menyeru rakyat Malaysia untuk kekal patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan bagi mengelak PKP dilaksanakan semula. Menjengah ke ruangan komen posting tersebut, Adibah dihujani pelbagai kata-kata semangat dan sokongan daripada netizen agar kekal tabah mengharungi segala dugaan yang melanda ke atas dirinya.


www.myartis.com / Sumber: Rotikaya & Beautifulnara


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: