18 July 2020

AL-FATIHAH - PENGARAH NURHALIM KEMBALI KE RAHMATULLAH



Takziah kami ucapkan kepada keluarga pengarah Nurhalim Ismail atas pemergiannya yang meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya akibat kanser paru-paru. Berita pemergiannya disahkan pengurus produksi syarikatnya, Nur TV Productions, Mohd Yusof Harun. Mohd Yusof berkata, Nurhalim, 63, baru sahaja menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang pada 16 Jun lalu.



"Arwah ada kanser paru-paru dan lambat buat rawatan. Akibatnya, air dari paru-paru sudah sampai ke jantung. Doktor terpaksa menebuk jantung untuk keluarkan air. Ketika itulah dia kena buat pembedahan kecil di jantung.

"Doktor nak buat kimoterapi tapi dia juga ada sedikit masalah buah pinggang dan kena cuci buah pinggang dulu. Apabila prosesnya selesai dan keluarkan air dari paru-paru, baru buat kemoterapi," katanya ketika dihubungi.

Klik untuk gambar besar

Menurutnya, Nurhalim sempat melakukan proses kimoterapi tiga kali pada bulan ini, tetapi kesannya dia hilang selera makan: "Apabila tak makan ditambah dengan pengambilan ubat, tenaganya tak cukup. Saya berjumpanya kali terakhir pada 9 Julai lalu dan ketika itu dia masih boleh bergerak. Pada 10 Julai dia dimasukkan ke IKN dan sejak itu keadaannya lemah. Apapun saya dan tenaga produksi reda kerana Allah lebih sayangkan dia," katanya.

Yusof, terbabit menyelaras penggambaran drama bersiri berjudul Kalung terbitan Nur TV Productions untuk siaran RTM: "Ia diarahkan Nurhalim sekitar lima peratus dan apabila dia sakit, tugas ini diserahkan kepada Hazali Ramli," katanya.

Nurhalim meninggalkan seorang balu dan tiga anak. Jenazah dibawa ke surau Ar-Rahman, Seksyen 9, Putra Heights, Shah Alam untuk dimandikan dan dikebumikan hari ini. Allahyarham antara penggiat seni yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Kamal Ishak, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: