01 July 2020

AMYZA AZNAN KEMUKA NOTIS TUNTUTAN MOHON MAAF & GANTI RUGI RM5 JUTA TERHADAP PEGUAM ZARINA ANJOULIE



Susulan tindakan peguam yang mewakili Zarina Anjoulie, Nurul Hafidzah Hassan yang mengeluarkan kenyataan berunsur tohmahan dan fitnah yang jelas merosakkan reputasi pelakon Amyza Aznan sebagai artis di media sosial miliknya dan laporan media, Amyza telah mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi berjumlah RM5 juta terhadap peguam, Nurul Hafidzah Hassan. Dalam notis yang disampaikan melalui The Law Chambers of Fauzi & Naseer itu, Amyza menuntut permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari serta bayaran ganti rugi kerosakan.



Peguamnya, Naseer Yusof berkata, permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, penerbitan media serta sidang akhbar dan selepas itu barulah budi bicara akan dilakukan terhadap tuntutan ganti rugi itu: "Sekiranya ia tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari, maka kita akan memfailkan saman di mahkamah," katanya.

Naseer bersama seorang lagi peguam, Fauzi Abdul Samad dan Amyza hadir ke pejabat Hafidzah di Shah Alam untuk menghantar notis itu, hari ini. Bagaimanapun, Hafidzah tiada di pejabat dan notis itu diserahkan kepada kakitangannya.

Amyza berkata, antara kenyataan fitnah yang dikeluarkan Hafidzah menerusi laporan media terbabit adalah mengatakan tindakan Amyza dan pelakon, Emelda Rosaila sebagai kempen pembunuhan karakter terhadap Zarina yang berniat jahat: "Tuntutan ini dibuat bagi membersihkan nama. Selama ini semua sedia maklum saya mempunyai rekod bersih dalam industri hiburan.

Klik untuk gambar besar

"Kenyataan yang dilemparkan Hafidzah benar-benar menjejaskan reputasi saya dalam bidang seni. Apa yang dikatakan peguam itu adalah satu penghinaan dan fitnah. Apa yang saya lakukan ini adalah usaha saya untuk terus bertahan dalam industri seni hampir lebih dua dekad," katanya.

Sementara itu, kehadiran Amyza dan Naseer ke pejabat peguam Zarina itu ialah untuk meminta dokumen-dokumen tuntutan yang difailkan Zarina sebelum ini: "Kami berharap segala dokumen dapat diserahkan kepada kami secepat mungkin untuk memasukkan memorandum kehadiran dan pembelaan.


"Sebelum ini, serahan yang dibuat Hafidzah sudah dihantar ke alamat yang bukan diduduki anak guam. Dia tidak bermastautin di situ. Bagaimanapun, ketika kami ke pejabat Hafidzah bagi meminta dokumen, kakitangannya memaklumkan segala dokumen sudah diserahkan ke alamat akhir Amyza. Saya juga ada meminta kepada kakitangannya mengenai nombor guaman untuk saya membuat carian di e-kehakiman tetapi nombor itu tidak dikongsikan," katanya.

Terdahulu, Zarina menerusi peguamnya menghantar dua surat tuntutan berasingan terhadap Emelda dan Amyza yang menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta, iaitu tuntutan RM3 juta daripada Amyza dan RM1 juta daripada Emelda. Amyza dikatakan berdiam diri sehingga peguam yang mewakili Zarina, Nurul Hafidzah mengesahkan Amyza gagal memasukkan kehadiran di mahkamah sejak saman difailkan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: