05 July 2020

AZLEE KHAIRI MAHU KUKUHKAN KERJAYA SENI & KEWANGAN SEBELUM BERCADANG BERKAHWIN


"Saya perlu kukuhkan kerjaya seni dan kewangan dahulu sebelum bercadang berkahwin. Ia menjadi tanggungjawab utama saya yang akan menggalas peranan sebagai ketua keluarga. Sudah semestinya saya mahu isteri dan anak nanti hidup bahagia.





"Sekarang saya kena fokus pada kerja dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik," demikianlah kata pelakon Azlee Khairi, 30, yang mengakui hatinya kini disulam cinta baharu, namun ia tidak bermakna dia akan menamatkan status dudanya segera.

Pelakon drama 'Maaf Tak Indah' dan 'Seadanya Aku' di TV3 ini memaklumkan dia merancang berkahwin sekitar lima tahun lagi apabila keadaan kewangan dan kerjaya seni betul-betul stabil. Menurut Azlee, perancangan masa depan itu sudah dibincangkan dengan kekasih yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Aniss, 22. Katanya, Aniss memahami dan boleh menerimanya dengan baik.

Azlee yang pernah popular dengan drama 'Love You Mr Arrogan't bersama Zara Zya itu berkata dia bersyukur tawaran berlakon diterima tidak putus. Malah, pilihan watak diperoleh juga sentiasa memberi cabaran kepadanya.

"Sekarang, saya sibuk menyiapkan penggambaran drama Derhaka Cinta Jebat. Sebelum ini, penggambaran ditangguhkan kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. Alhamdulillah, sekarang aktiviti penggambaran pun dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti disaran kerajaan untuk keselamatan ramai," jelasnya.

Menganggap penularan Covid-19 sebagai dugaan tak diduga, Azlee berkata sekarang kita semua kena membiasakan diri dengan budaya kehidupan berteraskan normal baharu yang lebih memfokuskan pada penjarakan sosial dan kebersihan. Dalam pada itu, Azlee yang akhirnya mengaku dia duda yakin tak akan ada perkara berbangkit timbul di antaranya dan bekas isteri, Dayang Norlelawati Puteh, 36.

Katanya, dia juga sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat pengakuan itu kepada media kerana enggan terus berteka-teki. Azlee dan Dayang Norlelawati yang berasal dari Brunei, mendirikan rumah tangga pada 2014. Sepanjang perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: