11 July 2020

PERMOHONAN PENGHAKIMAN INGKAR TERHADAP AMYZA - ZARINA BERJAYA DAPATKAN



Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Zarina Anjoulie untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap pelakon Amyza Aznan dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta. Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan Zarina Anjoulie selaku plaintif berikutan Amyza sebagai defendan gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman itu pada tarikh yang ditetapkan.



"Saman yang difailkan plaintif adalah mengikut prosedur dan teratur, namun defendan telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat," katanya.

Amyza bagaimanapun diperintah Mahkamah untuk membayar kos RM2,500. Biarpun begitu, Peguam Rejinder Singh yang bertindak bagi pihak Amyza memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan penghakiman ingkar itu pada Isnin ini.

Terdahulu, setelah dimaklumkan oleh peguam plaintif, Rejinder menyatakan Amyza telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman yang difailkan Zarina Anjoulie pada 1 Julai lalu. Menurut laporan Bernama, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Zarina Anjoulie ketika ditemui pemberita berkata plaintif akan memfailkan permohonan supaya mahkamah membuat taksiran ganti rugi berikutan keputusan tersebut.

Sebelum ini, Zarina telah memuat naik video di laman Instagram pada 28 Mac lalu dengan menyatakan bahawa “bantuan khusus” bagi penggiat seni yang diminta golongan artis kepada pihak kerajaan adalah tidak perlu kerana boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Dakwaan kenyataan fitnah mula timbul apabila Amyza dikatakan menghina Zarina seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain menerusi aplikasi pesanan ringkas Telegram dalam satu kumpulan dikenali sebagai 'BANTUAN COVID SENI 2020' sehingga Zarina mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah, permohonan maaf daripada defendan.


www.myartis.com / Sumber: BERNAMA


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: