17 July 2020

RANCANG KAHWIN TAHUN DEPAN - ERNIE TAK NAFI SYAMEL PUNYAI CIRI-CIRINYA



Penyanyi dan pelakon Ernie Zakri telah memberi bayangan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Pelontar lagu 'Ku Bersuara' itu berkata, dia bakal menginjak usia 29 tahun pada tahun hadapan, justeru sudah tiba masanya untuk memikirkan soal rumah tangga.



Bagaimanapun, ketika ditanya desas-desus majlis perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Ogos ini, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri menyangkal dakwaan berkenaan. Katanya, fokusnya untuk membahagiakan orang tuanya memandangkan kakaknya sudah berkahwin. Jadi, tanggungjawab menjaga ibu bapanya kini terpikul pada bahunya.

Menurutnya, tahun ini dia perlu fokus kepada karier dan ibu bapanya: "Dalam keluarga, hanya saya yang belum berkahwin. Jadi, ini masanya untuk saya jaga kedua-dua ibu bapa dan fokus saya adalah untuk mencari rezeki. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, banyak yang berlaku dan sekarang masanya untuk kita susun semula kerja-kerja yang tergendala.

"Saya sentiasa berdoa ditemukan jodoh yang baik. Saya fikir masa paling sesuai untuk merancang soal jodoh, tahun depan. Tahun ini rasanya tak mungkin, seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak kekangan yang seni terpaksa dilalui. Saya percaya penggiat seni melalui pelbagai kesukaran yang sama, tahun ini.

Klik untuk gambar besar

"Jadi, untuk meletakkan bila saya akan mendirikan rumah tangga mungkin sukar kerana memerlukan perancangan rapi. Tetapi, Insya-Allah, doakan saya bakal menamatkan zaman bujang, tahun depan. Bagaimanapun, ia hanyalah perancangan kerana saya hanya mahukan yang terbaik untuk keluarga," jelasnya.

Dijolok mengenai calon suami, Ernie menegaskan dia masih memilih. Namun, menjawab pertanyaan adakah penyanyi, Syamel adalah calon terdekat berikutan mereka cukup terbuka berkongsi video sambutan hari lahir Ernie yang cukup romantis, baru-baru ini, pelakon drama 'Suri Katriana' itu tidak menafikan dan memohon agar mendoakan hubungan mereka.

"Insya-Allah seperti yang anda dengar mengenai calon suami saya, doakanlah apa yang selalu orang dengarkan berjalan dengan baik dan dimakbulkan. Doakan semoga saya dapat menamatkan zaman bujang menjelang tahun depan kerana tahun depan usia saya sudah 29 tahun," komennya ringkas.


Ditanya adakah Syamel memiliki ciri calon suami dicari, Ernie dalam nada berseloroh berkata, penyanyi lagu 'Hidup Dalam Mati' itu mempunyai rupa yang manis: "Saya tak tahu kerana belum tinggal sebumbung. Setakat apa yang diberi dan ditunjukkan, saya mencari lelaki yang menghormati keluarga. Ini kerana ibu bapa adalah keutamaan dalam hidup saya," katanya.

"Setakat ini calonnya adalah seperti yang anda semua sudah dengar. Jadi, doakan semoga semuanya dipermudahkan. Dia ada ciri-ciri suami idaman saya, cuma kami belum mengenali satu sama lain dengan cukup mendalam. Yang pasti, ciri-ciri utama adalah dia menghormati ibu bapa saya," tuturnya.

Terdahulu, pasangan sama manis ini didakwa menjalinkan hubungan cinta selepas merakamkan lagu duet berjudul 'Aku Cinta'. Lagu berkenaan merangkul trofi Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke-32.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: