05 July 2020

ZED ZAIDI: "INI BUKAN SOAL KEJAR IMPIAN, SAYA DILANTIK SECARA SAH YAKIN BOLEH GALAS TANGGUNJAWAB BESAR"


"Ini bukan soal kejar impian. Saya dilantik secara sah oleh pihak FINAS kerana yakin boleh menggalas tanggungjawab besar diberikan untuk memantapkan lagi data industri seperti maklumat peribadi penggiat seni. Menerusi data ini, ia memudahkan saluran sumbangan diagihkan dan sebagainya yang sesuai untuk membantu golongan penggiat seni meliputi kesemua kategori secara keseluruhan.





"Dengan ada data lengkap yang sudah dikemaskini itu akan lebih sistematik dan memudahkan banyak urusan. Malah, mungkin tidak ada lagi penggiat seni yang terlepas pandang untuk dibantu serta mendapatkan pertolongan ketika mereka memerlukan," demikianlah kata presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

Zed menegaskan pelantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana kewibawaan diri yang layak menggalas tanggungjawab itu.

Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil juga menepis kata-kata kurang manis berkenaan pemilihan itu yang dianggap sudah melengkapkan impiannya untuk menyertai FINAS sebagai salah seorang AJK penting. Terdahulu, Zed dilantik Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, FINAS berkuat kuasa pada 19 Jun lalu hingga 22 Mei 2022.

Menurut Zed, sikap komitednya dalam bekerja sepanjang menerajui kepimpinan SENIMAN membuatkan dia mendapat kepercayaan daripada Kementerian Komunikasi dan Mulitimedia (KKMM) serta FINAS untuk jawatan baharu berkenaan.

Mengulas perancangannya, Zed berkata dia bercadang mahu syorkan kewujudan satu tabung khas baharu sebagai sokongan tabung sedia ada, berikutan FINAS juga sudah ada program kebajikan sendiri iaitu Ziarah Kasih: "Saya mahu berkongsi cadangan ini ketika mesyuarat yang dijangka pada pertengahan Julai ini.

"Kewujudan satu lagi tabung khas ini dilihat penting untuk membantu penggiat seni ketika terjejas pendapatan seperti dihadapi sewaktu penularan pandemik Covid-19. Kini, matlamat saya untuk berusaha mencari jalan dan tindakan sesuai untuk membantu seluruh penggiat seni termasuk tenaga kerja di belakang tabir. Saya mahu nasib mereka terbela," ujarnya.

Ditanya juga berkenaan kritikan netizen, Zed berkata pada era arus teknologi masa kini, dia sudah lali berhadapan pelbagai kritikan dan kecaman daripada warganet: "Saya tidak kisah jika terus dikecam netizen kerana apa yang penting saya tetap buat kerja dan laksanakan tanggungjawab dipikul.

"Sekiranya dikritik, itu bermakna mereka (netizen) nampak saya buat kerja. Saya juga sedia terima kritikan dan bersikap positif. Bagi saya, paling utama buat kerja dan tahu hala tuju yang nak dicapai untuk industri. Malah, membela kebajikan penggiat seni," tuturnya.

Sementara itu, mengulas juga mengenai tugasnya sebagai Presiden SENIMAN, Zed berkata, dia boleh meneruskan tanggungjawab itu seperti biasa dan tidak perlu untuknya meletakkan jawatan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: