16 August 2020

ABU BAKAR JUAH KEMBALI KE RAHMATULLAH



"Seluruh keluarga sudah reda dengan segala kemungkinan. Pemergian arwah satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan. Arwah banyak mewarnai drama dan filem tempatan dan setiap naskhah yang dibawakan pasti meninggalkan impak tersendiri," kata penyanyi, Aris Ariwatan, yang juga sepupu Abu Bakar Juah, 72, mengenai pemergian pelakon veteran itu jam 6.35 petang semalam.

"Saya sempat menziarahi arwah dua hari lalu. Keadaannya memang sudah tenat," tambahnya. Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia di sisi isteri, Rusidah Mohd Yassin dan empat anaknya di kediaman mereka di Alam Damai, Cheras.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai jam 10 pagi ini. Abu Bakar Juah merupakan bekas Pengarah Penjara Taiping, meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak.

Untuk makluman, Allahyarham sebelum ini dilaporkan tenat selepas dibenar keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak lebih dua minggu lalu.

Pelakon filem Matinya Seorang Patriot dan Dukun itu disahkan menghidap kanser usus pada 2016.

Klik untuk gambar besar


Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada kanser. Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit kanser kembali menyerang, malah lebih agresif hingga merebak ke hati.

Al-Fatihah!

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: