04 August 2020

'ADA APA DENGAN DOSA' DIJUAL RM1 - PENERBIT BUAT LAPORAN POLIS, NAK SAMAN SHOPEE RM50 JUTA



"Saya sudah membuat laporan polis dan nak saman Shopee RM50 juta! Saya juga sudah membuat laporan kepada pihak Finas dan nak tunggu apa tindakan mereka selepas ini. Shopee sudah menyediakan platform untuk pihak lain menjual filem terbitan saya dengan serendah RM1. Siapa yang memberi dia kebenaran untuk menjual?



"Tindakan mereka menjual dengan harga yang sangat rendah memalukan saya sebagai penerbit. Saya ada semua bukti untuk dibawa ke mahkamah! Macam mana saya nak bersabar sebab mereka terang-terang berani jual bahan cetak rompak!

"Bayangkan, saya mengeluarkan modal berjuta, melakukan penggambaran sehingga ke luar negara, berhabis banyak benda untuk merealisasikan AADD, tiba-tiba segala usaha dan penat lelah saya seakan tidak bernilai selepas filem itu dijual semurah RM1 di platform terbabit! Naik darah saya! Sejujurnya, saya rasa terhina dan kecewa dengan situasi cetak rompak ini.

"Bayangkan, ia telah wujud semenjak sekian lama tetapi ia masih berleluasa. Perkara ini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi di platform e-dagang yang ternama," demikianlah kata penerbit Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh yang berang apabila filem terbitannya 'Ada Apa Dengan Dosa' (AADD) dijual dengan harga murah di sebuah laman e-dagang iaitu Shopee.

Klik untuk gambar besar

Ayu, 42, berkata, dia sudah mengumpulkan semua bukti dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap laman e-dagang tersebut. Ibu kepada pelakon Wanna Ali ini juga sudah membuat aduan berhubung perkara itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, Ayu menyeru orang ramai supaya menonton filem AADD menerusi saluran yang betul: "Saya ada hak nak cakap dan suarakan pendapat kerana ia terkena kepada batang hidung saya sendiri. Biarpun saya masih baru, baru lebih kurang 10 tahun dalam industri, saya mahu pertahankan hak saya.

"AADD juga masih ditayangkan di Astro First. Dengan hanya RM15, penonton boleh menghayati AADD berulang-ulang selama 48 jam. Ha, di situ anda boleh tonton filem AADD sampai muntah hijau. Ia juga tidak menjadi satu kesalahan kerana ia menerusi saluran yang betul.

"AADD juga bakal bersiaran di pawagam pada 10 September ini. Jemput ke panggung, datang dan tonton. Saksikan sendiri bagaimana filem AADD ini digarap kerana pada asalnya ia memang untuk format pawagam," ujarnya lagi.


Sebelum ini, Ayu pernah mendedahkan filem AADD menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkannya di beberapa platform laman sosial serta aplikasi secara haram. Menerusi laporan Astro Awani, Finas sudah sedia maklum mengenai isu ini dan sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit. Dia turut melahirkan kekecewaan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak secara digital.

Dalam pada itu, Shopee juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan dan memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa. Tegas Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho dalam satu kenyataan, produk yang didapati menyalahi undang-undang serta melanggar polisi syarikat akan dibuang dalam senarai jualan mereka.

Tambahnya, penjual yang didapati melanggar polisi Shopee akan diharam menggunakan platform e-dagang terbabit. Mengulas mengenai penjualan filem cetak rompak 'Ada Apa Dengan Dosa' dan 'Keluarga Iskandar The Movie', Shopee memaklumkan pihaknya sudah memadamkan pautan berkenaan. Langkah menyenarai hitamkan kata kunci berkaitan filem berkenaan turut diambil bagi menghalang sebarang usaha jual beli diteruskan.


www.myartis.com / Sumber: mStar, Astro Gempak & Astro Awani


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: