06 August 2020

AZHAN RANI TAK GELAP MATA BIARPUN SEDAR 'UPAH' REVIEW' PULUHAN RIBU



"Seakan menjadi trend artis menjadi pilihan peniaga untuk mempromosi dan melariskan produk mereka. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum terfikir mengikut jejak langkah rakan lain. Saya tak mahu fokus lari. Sebolehnya untuk menjadi pelakon serius, saya perlu mengutamakan lakonan berbanding benda lain. Ia pilihan saya sendiri kerana berasakan tidak mampu mengawal keadaan.

"Sekiranya orang lain mampu membahagikan antara kerjaya lakonan dan membuat ulasan dalam media sosial, itu terpulanglah kepada mereka," demikian kata pelakon Azhan Rani yang tidak gelap mata, biarpun menyedari 'upah' ulasan produk menerusi platform media sosial mampu menjanjikan pulangan lumayan hingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Dikenali watak Ustaz Hamadi menerusi drama rantaian popular 'Nur' dan 'Nur 2', pelakon berusia 44 tahun itu bimbang fokusnya untuk bergelar pelakon tersasar gara-gara ulasan produk. Atas alasan itu, Azhan enggan melakukannya meskipun mengakui menerima hampir 30 tawaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Bagaimanapun, Azhan berkata, ia bukanlah titik muktamad. Sebaliknya, katanya, dia tidak mampu meramal masa depan. Siapa tahu mungkin satu hari nanti terpaksa bergantung kepada ulasan produk demi survival: "Sebolehnya, saya mahu fokus sebagai Azhan Rani seorang pelakon, bukan tukang ulas produk. Saya perlu jujur dengan minat kerana niat saya bergelar seorang pelakon apabila terjun ke bidang ini.

"Lagipun, saya kurang selesa apabila terpaksa membuat ulasan sewaktu sedang sibuk di lokasi penggambaran. Saya pernah menerima empat produk sama serentak, hilang kreativiti jadinya apabila terpaksa memberi komen kepada produk yang sama. Dari situ, saya sedar tidak sesuai dengan tuntutan kerja sedemikian.

Klik untuk gambar besar

Buat masa ini, katanya, dia masih selesa bergelar pelakon. Katanya, biarpun umurnya sudah matang, tetapi pengalaman seorang pelakon masih baru lagi. Justeru, masih belum terlintas di fikiran pelakon kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu untuk mencuba bidang pengarahan mahupun penulisan.

Mengulas adakah memiliki perancangan mengadakan kelas lakonan memandangkan kebolehannya membawakan pelbagai jenis watak, Azhan berkata, dia masih belum layak mengadakan kelas. Azhan yang diangkat Antagonis Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 2019 berkata, dia takut menganjurkan kelas lakonan kerana tidak pernah meletakkan tahap setinggi itu hingga layak membimbing orang.

"Masih banyak kekurangan pada diri saya sebagai pelakon. Walaupun umur saya sudah meningkat, tetapi kerjaya dalam bidang seni bermula agak lewat pada usia 28 tahun. Saya belum layak disamakan dengan Datuk Rosyam Nor atau Erma Fatima.

"Kelebihan saya adalah pada lakonan, masih banyak watak yang ingin dicuba dan belum pernah dibawakan. Saya masih belum puas menjadi orang lain," ujarnya yang bermula sebagai pelakon teater dan drama radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM).


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Fizo Omar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: