26 August 2020

BELI SECARA TUNAI - MASYA MASYITAH BERJAYA MILIKI RUMAH RM300,000 DI USIA 19 TAHUN



Penyanyi Masya Masyitah mendedahkan pada tahun lalu ketika berusia 19, dia berjaya memiliki kediaman miliknya sendiri yang dibeli secara tunai tanpa menggunakan kemudahan pinjaman bank.

Menurut Masya atau nama sebenarnya, Siti Nur Masyitah Yusoff, 20, rumah jenis kondominium yang berharga RM300,000 itu berjaya dibeli menggunakan wang simpanannya hasil daripada habuan kemenangan yang dimenanginya dalam mana-mana pertandingan nyanyian.

 "Saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak lagi, termasuk banyak menyertai pertandingan nyanyian dianjurkan. Jadi, saya dah kumpul duit dari kecil dan Alhamdulillah, kini dapat beli rumah.

"Pembelian dibuat secara tunai kerana lebih mudah dan saya tak perlu terikat dengan kadar faedah pinjaman di bank. Apatah lagi, saya tiada kerja tetap yang mempunyai penyata gaji bulanan.

"Saya tak suka nak berhutang sebab nanti kena bayar 'bunga'. Jadi saya pilih untuk beli secara tunai sahaja rumah tersebut. Itu merupakan duit yang saya kumpul sejak kecil lagi. Bila menang, dapat duit saya akan simpan di ASB (Amanah Saham Bumiputera). Jadi di situ dapatlah dividen setiap tahun," katanya. 

Klik untuk gambar besar


Katanya lagi, kebiasaannya wang kemenangan yang diperoleh sekitar lingkungan RM5,000 bagi satu-satu pertandingan: "Kalau program pertandingan nyanyian di televisyen, lagi tinggi jumlah yang dapat sehingga RM20,000," katanya yang merupakan juara program realiti, Ceria Popstar pada 2014.

Masya yang berasal dari Kulim, Kedah, berkata, pada usia muda, dia berjaya memiliki rumah dan kenderaan sendiri hasil wang daripada penglibatannya dalam dunia nyanyian selama ini. Ditanya sama ada kereta juga dibeli secara tunai, Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah Yusoff berkata dia membuat pinjaman bank untuk kenderaan.

"Apapun, saya amat bersyukur sudah memiliki aset sendiri seperti rumah dan kereta, hasil daripada aktif menyanyi selama ini. Cuma, masa beli kereta, ibu saya nasihat untuk tidak bayar secara tunai. Kalau ikutkan saya menang nak bayar tunai sahaja. Katanya, bimbang kalau saya nanti mungkin nak tukar kereta kemudian hari," jelasnya.

Mengulas dirinya yang dikait menunjuk kemewahan apabila berkongsi video dekorasi dan tatarias dalam kediamannya di YouTube. Masya berkata ia sekadar perkongsian buat peminat.


"Apa yang saya tunjukkan dalam video di YouTube itu hanya perkongsian biasa kepada peminat yang menyokong selama ini. Tidak ada niat nak menunjuk-nunjuk langsung.

"Bagaimanapun, saya tahu tidak semua yang dilakukan atau ditunjuk kepada umum itu disukai orang lain. Pasti, ada segelintirnya yang akan beri komen negatif," ujarnya.

Masya yang baru setahun menduduki kediamannya di Cheras berkata dia membeli kondominium itu kerana mudah baginya untuk lebih aktif dalam kerjaya nyanyian di ibu kota.

Tinggal bersama ibunya, Masya memberitahu dia memang suka menabung sejak kecil. Katanya, semoga apa yang dilakukan menjadi inspirasi kepada golongan belia lain. Pernah muncul juara program Ceria Popstar musim kedua di bawah bimbingan Hazama pada 2014, kini Masya popular dengan lagu 'Halimunan' dan terbaharu, 'Hapus'.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Astro Gempak

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: