16 August 2020

"BERMADU, BIARLAH KAMI SAHAJA TAHU... TAK ANIAYA HIDUP SESIAPA" - MIERA LEYANA



Pada 26 Julai lalu, pelakon Miera Leyana, 27, dan pasangannya, usahawan Rosland Othman, 47 selamat disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Hotel St Regis dengan kehadiran ramai tetamu kenamaan. Memilih lelaki yang memiliki jarak usia 20 tahun, bukan bermakna Miera 'buta hati', sebaliknya itu adalah pilihannya, mahukan lelaki yang matang.

Namun, belum pun sempat 24 jam bergelar suami isteri, dunia hiburan dikejutkan dengan satu video yang dimuat naik menerusi laman YouTube yang mendedahkan pelakon filem 'Apokalips X dan Lebuhraya Ke Neraka' itu 'hidup bermadu'.

Video berkenaan mendedahkan, Rosland yang juga Naib Presiden Kanan sebuah syarikat gergasi sudah berkahwin dan memiliki tujuh cahaya mata perempuan. Mengulas gosip yang bertiup kencang, Miera tak menafikan mahupun mengiyakan bergelar isteri kedua. Malah, itu juga bukan punca dirinya tidak mendedahkan identiti suami sebelum acara akad nikah.

"Sesiapa sahaja bebas membuat andaian, namun adilkah melemparkan spekulasi negatif pada sebuah masjid yang baru dibina? Sebagai orang Islam, kita kena percaya rahsia jodoh sukar dirungkai dan diduga. Begitu juga ikatan perkahwinan saya dengan suami.

Klik untuk gambar besar


"Soal hidup bermadu, biarlah hanya kami sahaja tahu. Saya dan suami bahagia, tak menganiayai hidup sesiapa dan spekulasi ini dicetuskan orang luar. Jadi, tak perlulah menghakimi hidup kami," kata aktres yang diangkat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin pada 2013 menerusi filem 'Pecah' itu.

Diperkenalkan menerusi drama 'Luna Fantasiku' pada 2008, Miera berkata, dia tidak takut kerana perkahwinan adalah ikatan suci: "Saya dan suami tak membuat perkara salah di sisi Allah dan agama. Kami membina rumah tangga atas dasar cinta dan memperoleh restu kedua-dua keluarga.

"Kami tidak menyorok perkahwinan, malah satu Malaysia tahu, saya kini bergelar isteri Rosland. Majlis pernikahan juga diadakan secara terang-terangan. Jika mahu membohongi sesiapa, kami boleh berkahwin di luar negara dan bernikah menerusi talian. Tiada seorang pun akan tahu kami sudah berkahwin, melainkan ahli keluarga," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu memilih cara yang salah. Lagi pun, tiada apa yang perlu dibimbangkan: "Saya bahagia dengan fasa baharu dalam kehidupan. Saya positif, persepsi orang luar terhadap rumah tangga kami bukan perkara penting. Apa yang kami tahu, tak salah berkongsi hidup dan bahagia," tuturnya.


Namun, jauh di sudut hati, wanita kelahiran Johor Bahru itu sedih apabila tersebar gosip negatif sebaik melangkah ke alam perkahwinan: "Siapa tidak sedih, tak sampai 24 jam bergelar isteri, video berkenaan tersebar. Cuba letakkan diri dalam keadaan saya.

"Saya bukannya kahwin sorok, malah sanak saudara dan rakan taulan menghadiri majlis pernikahan kami. Satu Malaysia lihat gambar perkahwinan kami. Gosip ini bukan hanya mencemarkan maruah saya dan suami, malah keluarga kedua-dua pihak. Tak kisah suami anak berapa dan apa status sekalipun, tetapi kami berkahwin atas restu keluarga dan tidak melukakan hati sesiapa," tutur Miera.

Mengulas tuduhan berkahwin dengan Rosland atas jalinan perniagaan bapanya, Datuk Seri Kasmi Arsat, Miera menyangkal dakwaan tidak masuk akal berkenaan: "Ingat perkahwinan saya adaptasi drama 'khayalan' dalam kaca televisyen? Kami berkahwin atas dasar cinta, bukan perniagaan keluarga.

"Ada atau tidak Rosland, saya tetap ada empayar perniagaan sendiri. Saya tak perlukan sesiapa untuk menanggung hidup saya. Bagaimanapun, saya akui, suami banyak mengajar selok belok perniagaan selama berkawan baik," katanya



www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Miera Leyana


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: