31 August 2020

DALAM DIAM - FENDY BAKRY SELAMAT BERNIKAH PILIHAN HATI



Sudah lama kita tidak mendengar cerita mengenai Fendy Bakry, tup tup kini pelakon drama 'Mr Grey' itu memaklumkan menerusi laman Instagram dimana dia telah pun selamat menamatkan zaman bujang. Fendy selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang dikenali sebagai Ayu dalam sebuah majlis sederhana pada malam Ahad.

Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 32, memberitahu acara akad nikah berlangsung di sebuah Dewan di Setia Alam, Shah Alam yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat. Dalam pada itu, Fendy berkata, dia akan mengadakan majlis resepsi bagi menjemput rakan-rakan artis dan pihak media dalam masa terdekat.

"Bismillah.. Alhamdulillah dengan sekali lafaz abam score weh!!! Terima kasih buat adik beradik semua yang datang ke majlis kecil kami.. InshaAllah majlis resepsi akan menyusul kelak.. Untuk masa sekarang abam mewajibkan yang mana perlu di dahulukan..

"Jangan risau.. akan abg jemput semua media dan kawan2 yang selalu support abg.. takkan ada rsvp ok.. heeee. Gambar lain, nanti la abam update.. Malam nie kena rest awal... tak elok kena embun 🤪," tulis Fendy.

Pada majlis tersebut, Fendy menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3008 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang dari pihak perempuan. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Dalam pada itu, Fendy yang memilih persalinan berwarna kuning pada hari bahagia itu berkata, usia sekarang sudah dilihat cukup matang dan adalah masa terbaik untuk dia mendirikan rumah tangga.

Fendy mengenali Ayu kira-kira tiga tahun lalu di Festival Teater Kebangsaan di Kedah. Peribadi Ayu yang mengambil berat dan mendahulukan keluarga memikat hati Fendy.

"Saya mahukan teman hidup, lagipun saya sudah tiada pembantu peribadi. Sampai masa isteri menguruskan makan pakai. Jika terjadi apa-apa isteri boleh uruskan. Jika ikutkan, kami tak bercinta bagai nak rak. Tiada nak berdating atau bergayut telefon selama 24 jam.

"Kami kenal tiga tahun lalu selepas bertemu di Festival Teater Kebangsaan, Kedah kerana memberi sokongan kepada persatuan teater masing-masing. Salah satu perkara mencuri hati adalah keperibadiannya.

Klik untuk gambar besar


"Isteri tak kisah bersusah payah demi saya. Secara kebetulan, saya berdepan dengan masalah kesihatan sejak beberapa bulan lalu, jadi dia banyak membantu. Susah nak jumpa orang sepertinya," katanya.

Fendy berkata, dia bukannya sengaja tidak mengundang ramai tetamu termasuk media massa, tetapi terbatas dengan prosedur operasi standard (SOP), selain atas permintaan keluarga isteri.

"Keluarga sepakat mahu meneruskan perkara wajib dahulu. Nak jemput ramai pun takut ada yang terlepas pandang dan terasa hati. Insya-Allah, kami akan mengadakan majlis resepsi, tetapi belum ada tarikh tepat.

"Mungkin tahun depan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih diteruskan hingga hujung tahun ini. Lagipun, saya dan isteri akan sibuk dengan komitmen kerja selepas ini. Selain perniagaan, saya akan kembali ke lokasi penggambaran hujung September.

"Bagaimanapun, saya tak boleh terima tawaran watak utama yang memerlukan komitmen panjang kerana masalah kesihatan. Setakat watak pembantu, insya-Allah boleh. Saya pun tak nak susahkan produksi," jelasnya yang belum memikirkan soal bulan madu.

Mengimbas detik pertemuan, jejaka kelahiran Perlis itu berkata, semuanya berlaku tanpa diduga. Difahamkan, Fendy yang juga pemilik perniagaan Bhenang Kitchen itu dan pasangannya ini mengikat tali pertunangan secara ringkas pada Mac lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

"Saya selamba tanya isteri, nak kahwin dengan saya tak sekitar Mac lalu. Dia cakap jika serius kena jumpa keluarganya. Majlis tunang diadakan dalam keadaan ringkas kerana kebetulan mak saya berada di Kuala Lumpur.

"Kemudiannya, kami putuskan untuk bernikah. Ikutkan perancangnya, kami bernikah pada Januari tahun depan. Tetapi, lebih baik mempercepatkan perkara baik. Tiada guna nak tangguh lagi kerana tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Berita Harian, Astro Gempak & Instagram Fendy Bakry

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: