31 August 2020

"SAYA TETAP OKAY & STEADY" - BOY IMAN 'REDHA' JADI MUFLIS



"Berjuang sebelum mati, Bukan mati sebelum berjuang! Percaya rezeki itu dari Allah, Kita hamba Dia kena mintak melalui doa dan berusaha melalui perbuatan," kongsi Datuk Boy Iman, 40, di IGnya.

"Daripada segi perniagaan, saya masih terbabit menguruskan perniagaan kontraktor, produk kecantikan, produk keselamatan tong gas dan konsultan perniagaan.

"Hanya itu yang mampu saya buat apabila diisytihar bangkrup. Bagaimanapun dari segi kehidupan, saya okay dan 'steady' kerana masih sihat serta bagus. Malah, lebih bermakna daripada segala-gala," tambahnya pada media sambil mengakui dia kini terpaksa melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara hidup selepas diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, pengisytiharan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus menjalani kehidupan biasa sama seperti orang lain.

Untuk info, Boy atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, diisytihar muflis berikutan kegagalan melunaskan tuntutan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu.

Ini kerana pada 2017, Boy Iman yang juga Pengarah Urusan DBI Properties bersama tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources ditahan reman enam kali bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah bernilai RM6.8 juta.

Meskipun selepas dihukum dia sentiasa berdepan kecaman masyarakat, namun Boy Iman mengakui tidak ambil peduli apa yang berlaku.

Klik untuk gambar besar


"Saya pun tak ambil kisah sangat kecaman yang dilemparkan kerana tahu apa yang terjadi. Saya kini telan sahaja semuanya.

"Bila isu itu keluar, sudah tentu ia tak bagus pada saya. Selepas hampir tiga tahun, pandangan serong ini dah kurang.

"Ada juga yang bertindak minta maaf, tapi masih ada juga segelintir yang tetap memandang serong pada saya.

"Tak penting pun orang suka atau tidak, kerana bukan mereka yang bayar bil saya pun.

"Cuma kalau nak tahu, ajaklah saya minum teh tarik dan tanya saya sendiri sebelum buat sebarang andaian," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Tambahnya lagi, dia kini dalam proses mewujudkan platform untuk penyiaran dalam talian (broadcast online) dikenali DBI TV.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: