18 August 2020

DERITA ANGIN AHMAR - ZALEHA BOLEH BERSUARA, GERAK TANGAN


"Mama boleh menggerakkan sedikit jari jemari sebelah kiri. Sebelum ini, dia hanya mampu berinteraksi dengan mengerdip mata sahaja. Alhamdulillah, sekarang sudah boleh bergerak dan bersuara perlahan-lahan. Mama akan bercakap apabila perlu sahaja bergantung kepada 'mood'. Ada masanya, dia akan senyap, tetapi ada ketika pula perbualannya jelas. 


"Bagaimanapun, setakat ini, Mama masih belum boleh bangun. Sekiranya hendak bangun, kami terpaksa bantu," kata Ungku Sulaiman mengenai keadaan isterinya, penyanyi dangdut, Zaleha Hamid, 65, yang dipanggil dengan panggilan Mama.

Keadaan kesihatan Zaleha yang menderita serangan angin ahmar menunjukkan sedikit perkembangan positif. Suaminya berkata isterinya yang terlantar sakit sejak lima bulan lalu kini sudah boleh menggerakkan tangan kiri. Bagaimanapun, bahagian kanan tubuh masih lemah.

Disebabkan keadaan penyanyi lagu Dangdut Reggae itu memerlukan penjagaan rapi, Ungku Sulaiman terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan bagi menguruskan isterinya. Ungku Sulaiman berkata, dia bersyukur penderitaan isterinya mendapat perhatian ramai termasuk persatuan, rakan artis, badan bukan kerajaan (NGO) dan terbaharu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang mengunjungi kediaman mereka di Skudai, Johor Bahru.

Klik untuk gambar besar


Dalam kunjungan diketuai Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, beliau sempat menyampaikan sumbangan penghargaan buat penyanyi yang pernah mendapat jolokan Ratu Dangdut pada era 1980-an itu. Katanya, tugas menguruskan isteri sedikit ringan apabila mendapat tajaan pusat penjagaan kesihatan di rumah, JB Care Centre bagi bagi membantu menguruskan penukaran tiup Zaleha setiap lima hari sekali.

"Kehadiran petugas pusat penjagaan kesihatan berkenaan sedikit sebanyak meringankan bebanan menukar tiup yang digunakan untuk memberi Mama susu. Jika dahulu, saya terpaksa mengusung Mama ke pusat penjagaan kesihatan untuk urusan pertukaran tiup, tetapi kini sudah tidak perlu lagi. Saya hanya membawa Mama menjalani pemeriksaan rutin mengikut jadual yang ditetapkan, berapa bulan sekali," tuturnya.

Keadaan kesihatan Zaleha yang uzur mendapat perhatian ramai sejak beberapa bulan lalu. Sebelum ini, wanita kelahiran Sungai Pinang, Pulau Pinang masih boleh berbual dalam sebutan pelat dan sepatah demi sepatah. Bagaimanapun, keadaannya menjadi teruk apabila tiada sepatah perkataan terkeluar dari mulutnya dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat, sejak Mac lalu.

Beliau yang sudah lima dekad bergelar penyanyi diserang penyakit angin ahmar sekembali dari program realiti, Gegar Vaganza musim keenam pada pertengahan Disember tahun lalu. Pada awal serangan, wajahnya senget sebelah hingga pertuturan menjadi pelat. Kaki dan tangan kanan pula kejang dan tidak bergerak.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: