06 August 2020

HIDAP KANSER KULIT TAHAP 4 - YUSOF KELANA KINI KRITIKAL



Pengarah filem 'Tragedi Oktober', Yusof Kelana, 66, yang disahkan menghidap kanser kulit tahap empat kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya. Anak sulungnya, Nur Yusnani Omar berkata, sel kanser sudah merebak ke otak bapa hingga menjejaskan ingatan penerbit filem veteran itu.

"Bapa hanya sempat menjalani dua pusingan kimoterapi dan radioterapi, tetapi dua rawatan itu terpaksa dihentikan berikutan keadaannya semakin lemah. Ini kerana sel kanser sudah merebak ke bahagian otak. Dia sedar, cuma keadaannya sangat lemah. Ingatannya pula terganggu, ada masa mengingati kami dan sebaliknya. Jadi, kami perlu sentiasa berbual dengannya untuk membantu memulihkan ingatan.

"Oleh kerana keadaannya sangat lemah, doktor terpaksa menghentikan rawatan kimoterapi dan radioterapi. Bapa dibenarkan keluar esok dan hanya perlu menjalani rawatan paliatif di rumah. Setakat ini, tiada pelawat dibenarkan, hanya ibu sahaja menjaga bapa," katanya.

Sahabat baiknya yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, 54, berkata, keadaan kesihatan Yusof semakin merosot dan kini hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Tambahnya, Yusof kemungkinan akan dibawa pulang ke kediamannya pada Jumaat.

"Dia pengsan pada Ahad lepas sebab sudah dua hari tak makan, jadi dia dimasukkan ke hospital. Tapi saya dimaklumkan yang Yusof sudah tak sedarkan diri sejak Selasa kerana kanser itu telah merebak ke otak. Dia tidak boleh bernafas dengan sendiri. Saya diberitahu doktor sudah tidak boleh buat apa-apa, jadi dia mungkin akan dibawa balik ke rumah pada Jumaat ini," jelasnya.

Klik untuk gambar besar

Bercakap mengenai penderitaan yang ditanggung Yusof atau nama sebenar Omar Saleh, 66, Jurey berkata tanda-tanda awal rakannya itu menghidap kanser ialah selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki sejak dua tahun lalu.

Namun, sikap yang tidak suka ke hospital membuatkan Yusof membiarkan luka tersebut merebak tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Bagaimanpun kata Jurey, Yusof hanya mengetahui dia menghidap kanser pada Jun lalu.

"Tanda-tanda tu dah ada lama sebenarnya sejak dia alami luka di bahagian tapak kaki, cuma Yusof tak pernah ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan luka tu pun dibiarkan saja. Ada satu hari tu dia jatuh di rumah dan impak kuat pada dada dia.

"Anak-anaknya terus bawa dia ke hospital. Akibat daripada jatuh tu badan dia mula mengalami bengkak-bengkak. Selepas buat imbasan dan sebagainya, baru dapat tahu yang dia menghidap kanser kulit tahap empat," ujarnya.


Sebelum ini, Yusof disahkan menghidap kanser pada Julai lalu pada mulanya menyangka luka pada tapak kakinya hanya kecederaan biasa. Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, barulah Yusof dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Disebabkan tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat. Sepatutnya, beliau menjalani lima pusingan kimoterapi.

Yusof memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada tahun 1996 menerusi 'Tragedi Oktober' yang menerima kutipan pecah panggung RM3.2 juta. Dia kemudian meneruskan kerjasama bersama Skop Production menerusi filem 'MX3' (2003) dan 'Pontianak Menjerit' (2005).

Yusof menerbitkan filem 'Bidong: The Boat People' (2018) dan 'Mahathir: The Journey' (2019) menerusi syarikat miliknya YKS Film Maker dan Reliance Media Group. Selain filem, Yusof juga antara pengarah drama kepolisian popular 'Gerak Khas' yang ditayangkan di RTM.



www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: