06 August 2020

NEELOFA: "SAYA HARAP APABILA JEBAT DEWASA NANTI, DIA AKAN HARGAI BAPANYA"



Semua sedia maklum mengenai pelakon Sharnaaz Ahmad yang tidak mengabaikan tanggungjawab dan sentiasa meluangkan masa dengan anak tunggalnya, Jebat Jayden Ahmad tiga kali dalam sehari meskipun rumah tangganya dengan Noor Nabila menemui titik noktah.

Dek kerana itu, pelakon, pengacara dan usahawan Noor Neelofa menyifatkan bekas abang iparnya itu sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anak hasil perkongsian hidup dengan kakaknya.

Menghormati akan jasanya itu, Neelofa mengakui Sharnaaz mengorbankan masa hampir setiap hari untuk berjumpa dan isi masa bersama anak tunggal mereka meski sudah tidak tinggal sebumbung. Malah baginya juga, perkara itu boleh dijadikan contoh oleh pasangan yang melalui situasi hampir sama.

"Kes melibatkan mereka sudah berlarutan lama atas situasi semasa yang berlaku. Jadi bila sudah selesai, saya turut bersyukur dan itu merupakan keputusan mereka berdua. Pada masa sama, saya merasakan ada hikmah kerana dalam tempoh tersebut (kes mahkamah), hubungan mereka berdua sangat pulih dari segi saling menjaga anak mereka.

Klik untuk gambar besar
"Sharnaaz seorang bapa yang sangat bertanggungjawab dan bila dia sanggup korbankan masa untuk hampir setiap hari datang melawat anaknya. Saya rasa perkara itu boleh dijadikan contoh oleh pasangan berpisah," ujarnya.

Sementara itu, figura terkenal ini juga tidak menafikan apa yang dilakukan aktor berkenaan bukanlah satu perkara mudah dan mengharapkan agar Jebat mampu untuk menghargai jasa si bapa apabila dewasa kelak: "Saya sendiri adalah daripada keluarga yang bercerai juga dan saya dibesarkan oleh ibu selama beberapa tahun sebelum dia kembali mendirikan rumah tangga.

"Akan tetapi bagi seorang bapa yang bertemu dengan anaknya dengan begitu kerap sekali, ia bukan suatu hal yang mudah. Saya harap apabila Jebat sudah dewasa nanti, dia akan menghargai bapanya," katanya yang kini muncul menerusi program bual bicara terbaru, 'Next To Neelofa'.

Terdahulu, Sharnaaz Noor Nabila sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. Pasangan tersebut berkahwin pada 31 Mac 2017 di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.



www.myartis.com / Sumber & foto: Media Hiburan, Instagram Noor Neelofa & Sharnaaz Ahmad


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: