21 August 2020

PENAMPILAN BARU CAT FARISH: "KURUS ORANG CAKAP SAKIT, NAMPAK TUA"



Nama penyanyi kumpulan Ruffedge, Cat Farish sudah agak lama kita tak dengar cerita mahupun melihatnya dalam pentas hiburan di Malaysia. Namun, kemunculan Cat Farish baru-baru ini dengan penampilan yang berbeza telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Cat Farish atau nama sebenarnya, Farrish Zaquan Ramli, 46, kini kelihatan lebih kurus daripada penampilannya yang terdahulu sehingga ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Segelintir peminat beranggapan perubahan mendadak itu menyebabkan Cat Farish kelihatan seperti orang sakit.

Bagaimanapun Cat Farish atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli, 46, memberitahu dia tidak pernah berkecil hati dengan tanggapan orang dan menegaskan kesihatannya semakin baik berbanding sebelum ini.

"Apabila kurus orang cakap sakit, apabila gemuk orang cakap juga. Kadang-kadang ada yang cakap nampak tua... itu dan ini. Suka hati mereka la nak cakap apa sebab yang penting saya buat semua ni untuk sihat dan fit supaya boleh jaga keluarga.

Klik untuk gambar besar


"Tak pernah pun rasa kecil hati atau apa-apa sebab mereka tak tahu. Tapi kadang-kadang saya pun suka perli balik. Mereka tak tahu pun semua ni hasil daripada usaha saya. Ada orang sedap cakap sebab mereka ingat semua benda mudah. Jadi perlu ke ambil hati?" katanya.

Sebelum ini, Cat Farish berkongsi foto yang memperlihatkan perubahan fizikalnya yang semakin kurus di Instagram dan mengakui terdapat netizen yang beranggapan dia sedang sakit. Namun jelas penyanyi lagu 'Rimas' ini, dia menjalani pembedahan bariatrik iaitu Sleeve Gastrectomy yang melibatkan pembuangan 70 hingga 80 peratus perut pada November 2019.

Hasil daripada itu Cat Farish mendedahkan berat badannya kini 75 kilogram berbanding 130 kilogram pada tahun lalu: "Saya ada lakukan pemeriksaan kesihatan tahun lepas. Doktor cakap keadaan saya sangat teruk.

"Saya ada macam-macam masalah kesihatan termasuk diabetes, mudah tidur serta semput. Saluran pernafasan jadi sempit sampai tak boleh nak sedut oksigen. Masalah pernafasan tu buat saya banyak makan. Disebabkan masalah yang saya alami, doktor nasihatkan supaya menjalani pembedahan bariatrik," jelasnya.

Tambahnya, dia juga mengamalkan diet karbohidrat selama lapan bulan selepas selesai menjalani pembedahan tersebut. Selain itu Cat berkata dia tidak mengamalkan pengambilan gula dalam pemakanan sehariannya.

"Lepas selesai pembedahan, saya mengamalkan diet karbohidrat selama lapan bulan sehingga sekarang. Saya hanya makan ikan, ayam dan sayur... daging pun kadang-kadang saja saya ambil. Saya juga tak mengambil gula dalam pemakanan saya," ujarnya.





www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Cat Farish

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: