29 August 2020

SAKINAH ENGGAN RUJUK: "LEGA BERPISAH, TIADA LAGI ORANG BOLEH TUDUH SUAMI SAYA DAYUS..."



"Saya tidak mahu kembali (ke pangkuan bekas suami) kerana tidak mampu memberi komitmen untuk menjadi isteri yang baik, apatah lagi dengan keadaan saya yang mempunyai masalah Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

"Sejujurnya, saya lega selepas berpisah kerana tiada lagi orang boleh menuduh suami saya dayus atau tidak tahu mengawal saya yang sukakan perhatian," demikian tutur pelakon Sharifah Sakinah yang menolak untuk kembali ke pangkuan bekas suami, Aliff Adha selepas bercerai, Mei lalu.

Sakinah, 31, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan anak tunggalnya, Anais Adha yang berusia tiga tahun. Mengulas kehidupannya sebagai ibu tunggal, pelakon telefilem 'Girlfriend Aku Dari Neraka' ini mengaku masih belum betah menyesuaikan diri dengan status itu.

Sakinah memaklumkan bukan satu perkara yang mudah untuk melalui fasa penceraian dan bergelar ibu tunggal. Menurut Sakinah, dia mengakui terkesan dengan ujian yang menimpa dalam rumah tangganya bersama bekas suaminya. Jelas Sakinah, penceraian tersebut berlaku bukan berpunca daripada suaminya.

Klik untuk gambar besar

Sehubungan itu, Sakinah yang mengakui masih menjalankan hubungan baik bersama bekas suami itu banyak meluangkan masa bekerja dan di gim supaya tidak terlalu memikirkan masalah rumah tangga: "Kehidupan saya masih haru-biru. Kami baru berpisah, jadi perasaan saya masih sakit.

"Kami masih berhubung malah kamu berdua masih menjalinkan hubungan yang sangat baik dan tak ada pergaduhan yang berlaku antara kami berdua. Kalau boleh saya tak nak rujuk semula kerana saya tidak mahu membebankan dia lagi dengan masalah sakit yang saya alami, jadi biarlah saya sendirian. Saya sampai umur 40 tak kahwin pun tak apa.

"Penceraian ini masih baru lagi sebab tu Sakinah tengah cuba sebaik mungkin meneruskan kehidupan, sebab tu Sakinah banyak luangkan masa di gim sekarang, jadi saya tak fikir pasal masalah rumah tangga.

"Selepas penceraian memang haru biru sebenarnya dan bukan mudah untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, bukan dah bercerai 10 tahun. Bekas suami saya dia seorang lelaki yang sangat baik, sentiasa memberi sokongan dan sebagainya.

"Lagipun, kami bukan bersama sehari dua, malah, saya dengan Aliff tidak pernah bergaduh. Anais juga sering menitiskan air mata apabila berjumpa dengan bapanya dan sering meletakkan tangan kami bersama-sama," katanya yang mendapat hak jagaan anak.

Selain itu, Sakinah tidak menafikan penyakit ADHD yang dihidapinya menjadi salah satu punca perceraian selepas empat tahun berkahwin. Sakinah memberitahu dia menghidap penyakit itu sejak dari kecil dan sudah mula menjalani rawatan pada tahun 2018.

"Banyak sebab (perceraian) tetapi penyakit itu menjadi salah satu faktor perpisahan kami. Buat masa sekarang, saya sedang menjalani rawatan. Selain merujuk kepada psikiatri dan terapi, saya mengambil ubat. Saya tidak mahu membebankan bekas suami untuk menjaga saya lagi. Saya mahu ruang dan masa untuk diri sendiri dahulu," jelas adik kepada pelakon Sharifah Shahira itu.

Untuk makluman, Sakinah mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Aliff Adha pada 28 Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Anais Adha berusia 3 tahun. Bagaimanapun, mahligai cinta Sakinah telah berakhir pada bulan Mei lalu.



www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Media hiburan & Instagram Sharifah Sakinah

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: