17 August 2020

SOKONGAN PEMINAT GALAK TERUS AKTIF - ELYANA SEDIA KEMBALI DENGAN SINGLE BAHARU



"Sejujurnya, saya hampir patah semangat untuk kembali menyanyi selepas disahkan mempunyai kanser. Walaupun tidak mengetahui situasi saya pada waktu itu, peminat tetap memberi sokongan dan menggalakkan saya untuk terus aktif dalam bidang seni.

"Semangat diberikan itulah yang mendorong saya memberanikan diri untuk menyertai program Gegar Vaganza. Lebih membuatkan saya terharu peminat menghadiahkan saya mikrofon bernilai ribuan ringgit sempena hari ulang tahun kelahiran, bulan lalu.

"Mereka sanggup berkongsi duit semata-mata mahu membelikan saya mikrofon. Ada banyak hadiah lain yang diterima. Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi itu membuatkan saya rasa perlu untuk meneruskan kerjaya nyanyian. Merekalah menjadi tulang belakang saya selama ini," kata penyanyi Elyana Emrizal, 33.

Elyana atau nama sebenarnya, Emeelya Elyana Emrizal berkata, api semangat perjuangannya tidak akan menyala tanpa sokongan orang yang paling dekat di hati iaitu peminat. Berbekalkan semangat masih bersisa, Elyana berkata, dia kini sudah bersedia untuk kembali dengan single baharu, sekali gus menghantar isyarat yang dirinya tidak pernah meninggalkan dunia nyanyian biar apapun yang terjadi.

Klik untuk gambar besar


"Lagu sudah siap dan sepatutnya karya ciptaan Adi 6ixth Sense ini sudah lama dirakamkan. Bagaimanapun, rakaman terpaksa ditangguhkan berikutan wabak COVID-19. Kini, saya sudah bersedia memasuki studio. Saya rasa lain sikit memandangkan sudah lama tidak membuat rakaman.

"Persediaan paling utama adalah memastikan stamina kerana penyakit berkenaan memberi kesan dari segi pernafasan. Selain sokongan peminat, saya kuatkan diri untuk terus menyanyi kerana bidang ia adalah cinta pertama saya. Saya sudah menjadi penyanyi sejak dua dekad lalu dan ia sudah sebati dengan jiwa saya," ungkap ibu kepada cahaya mata perempuan, 'Cinta Sumayyah' ini.

Berkongsi keadaan kesihatannya, Elyana berkata, dia tidak lagi membuat rawatan kimoterapi sejak tahun lalu: "Keadaan kanser saya masih sama pada tahap empat. Kali terakhir saya membuat rawatan kimoterapi adalah tahun lalu hingga saya tak boleh berjalan. Buat masa ini, saya meneruskan kehidupan dengan semangat positif yang ada.

"Doktor tidak menghalang saya menyanyi. Malah, menggalakkan saya untuk melakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan dan menaikkan semangat. Lepas ini, jika saya rasa tak sedap badan, barulah saya akan pergi hospital. Jika tidak, saya lebih selesa untuk fikir secara positif," ulas Elyana.

Senyuman terukir di bibir dan pergerakan lincah tidak membayangkan Elyana atau nama sebenarnya, Emeelya Elyana Emrizal berdepan dengan kanser limfoma tahap empat. Jarang dilihat penyanyi lagu 'Kalis Rindu' itu berduka mahupun meratap nasib diri hanya kerana penyakitnya itu.

Sikap positif mahu terus bertarung melawan penyakitnya jelas kelihatan ketika menyertai program Gegar Vaganza musim keempat, dua tahun lalu. Ketika itu, tiada seorang pun tahu pelakon drama komedi remaja berjudul 'Dunia Baru' itu sudah sembilan tahun menderita penyakit kanser hingga Elyana mengumumkan berita sedih pada malam penyingkirannya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: