10 September 2020

5 BULAN TAK BALIK SINGAPURA - SUFI BERSYUKUR KEMELUT DENGAN IBU SELESAI



"Alhamdulillah, hubungan dengan keluarga tidak lagi seteruk dahulu. Lagipun, saya malas terlalu memikirkan masalah yang berlaku. Saya membawa isteri bertemu ibu selepas majlis persandingan pada September, tahun lalu.

"Bagi saya, isu keluarga perlu diselesaikan dengan cara kekeluargaan. Apapun berlaku, ibu tetap ibu, saya harus menghormatinya. Apa yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham.

"Untuk mendapat kepercayaan keluarga bukannya mudah, proses memakan masa, lebih lagi berlaku perselisihan. Ada juga apa yang diluahkan dimanipulasi, jadi perkara seumpama ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi keluarga.

"Jadi, saya selesaikan kekeruhan yang berlaku bersama keluarga terlebih dahulu," demikian kata penyanyi Sufi Rashid yang enggan memperbesarkan isu keretakan hubungan dengan ibu dan mengakui sudah kembali ke pangkuan keluarganya.

Sekian lama membiarkan teka teki sejak video pergaduhan pada majlis persandingannya tular, Sufi berkata, hubungannya dengan keluarga tidak seteruk seperti sebelum ini, malah, hubungan isteri dan ibunya juga semakin baik.

Apa yang penting, juara program realiti Akademi Fantasia 2015 itu lebih suka berkongsi perkara lain, selain soal peribadi. Katanya, agama Islam mengajar umatnya berkongsi perkara baik, bukan mengaibkan.

Klik untuk gambar besar


"Saya tak akan cerita perkara yang teruk. Saya lebih suka berkongsi cerita baik. Bagi saya, dapat mengukir senyuman setiap pagi sebaik bangun tidur adalah satu kebahagiaan. Saya mohon doa supaya hubungan saya bukan sahaja dengan keluarga, malah peminat baik-baik sahaja," ujarnya.

Selain itu, Sufi berkata, penutupan pintu sempadan berikutan pandemik COVID-19 menyebabkannya sudah lima bulan tidak dapat pulang ke Singapura.

Katanya, perkara pertama yang ingin dilakukan adalah membawa isterinya, Nurulain Md Yusof untuk bertemu keluarga, sanak saudara dan rakan di seberang tambak, sebaik kelonggaran diberikan untuk merentasi sempadan negara.

"Kami tidak berpeluang pulang ke Singapura sebaik mendirikan rumah tangga. Saya memang merancang mahu pulang selepas berkahwin, tetapi apakan daya, pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia. Jadi, kami terpaksa melupakan hasrat berkenaan seketika.

"Bagaimanapun, jika dibenarkan keluar masuk sempadan, saya sudah merancang untuk membawa isteri pulang dan berkenalan dengan keluarga dan sanak saudara," tuturnya.


Menyorot perkembangan kerjayanya, penyanyi berusia 29 tahun itu menyangkal dakwaan kerjaya nyanyiannya tenggelam timbul. Sufi berkata, dia banyak terbabit dengan persembahan secara virtual sejak COVID-19 menular. Bagaimanapun, ketiadaan single baharu menyebabkannya disangka tidak lagi aktif menyanyi.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2016 itu berkata, dia tak kisah sekiranya ada yang melabelnya artis sendu.

"Bagi saya, apa yang lebih penting, kocek tidak sendu. Saya bersyukur tawaran nyanyian masih ada, malah banyak menjayakan persembahan secara virtual.

"Saya juga kini dalam proses menghasilkan single baru. Saya mahu memastikan single ini memberi kesan kepada peminat seperti lagu 'Kisah Dua Muka'," katanya.

Bagaimanapun, Sufi berkata, dia sedaya upaya mahu memastikan single yang baru diterima, tetapi pada masa sama, harus akur pada nasib.

"Kadang kala saya rasakan single cukup sedap pada pendengaran, tetapi saya kena akur, cita rasa pendengar orang tidak sama. Jadi, sukar menjangkakan lagu yang didendangkan meletup atau sebaliknya kerana ada masa kita jangka lagu boleh pergi, tetapi selepas diputarkan, kurang mendapat sambutan.

"Sama juga apabila tidak yakin sesebuah lagu boleh pergi, tetapi peminat pula suka. Jadi, pasaran muzik sebenarnya sesuatu yang sukar ditafsir," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Sufi Rashid

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: