18 September 2020

"MINTA NASIHAT PEGUAM... BETULKAN NIAT, FOKUS PADA ANAK" - NABILA DEDAH TERIMA BANYAK MESEJ



"Saya dapat banyak mesej peribadi daripada orang ramai yang bertanya mengenai penceraian serta nak tahu macam mana saya kuat berdepan Sharnaaz... saya tak balas sebab tak tahu macam mana nak jawab setiap orang dan hal ini juga agak peribadi.

"Yang tanya macam mana nak bercerai tu... tak payahlah sampai nak bercerai kalau hal kecil sahaja! Artis pun ramai mesej tapi saya nasihatkan kalau boleh selesaikan dahulu, jangan datang mahkamah kerana benda ini akan jadi besar.

"Mungkin hal ini boleh diselesaikan tapi disebabkan buat keputusan drastik, terus tak boleh selesai dah! Jangan ikut emosi, fikir dahulu... lagi satu, jangan DM saya, boleh tanya peguam sebab saya tak boleh nak tolong," demikia kata bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila.

Nabila atau nama penuhnya Noor Nabila Mohd Noor mendedahkan dia menerima banyak mesej daripada pengikut di laman sosial yang meminta pandangannya mengenai proses perceraian.

Klik untuk gambar besar

Nabila, 36, turut berkata, dia dihujani pelbagai pertanyaan daripada rakan selebriti yang mahu mendapatkan nasihatnya berhubung isu membabitkan hal rumah tangga.

Nabila dan Sharnaaz ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Khamis. Kemelut rumah tangga membabitkan pasangan ini akhirnya berjaya dirungkaikan apabila kedua-dua mereka bersepakat mengenai tiga tuntutan yang dimeterai dalam satu perjanjian persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada Khamis.

Persetujuan terhadap tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua belah pihak membabitkan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

Nabila selaku plaintif menyatakan bahawa pihak defendan iaitu Sharnaaz bersetuju untuk memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan. Selain itu, defendan juga bersetuju hak penjagaan anak diberikan kepada Noor Nabila termasuk memberi nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan dan permohonan nusyuz turut dibatalkan.


Sementara itu, Nabila menasihati mana-mana individu yang sedang berdepan masalah rumah tangga sentiasa berfikiran positif dan tidak menyimpan dendam terhadap pasangan masing-masing.

"Betulkan niat dan fokus kepada perkara yang mahu dilakukan selepas bercerai. Apa yang saya boleh kongsi ialah kita tetapkan semula matlamat hidup kita... fikirkan apa kita nak buat selepas tiada apa-apa hubungan dengan suami.

"Sucikan hati, jangan ada dendam dan marah sebab itu hanya akan menganggu kehidupan anda, fikir tentang anak. Kita tak mahu mereka melihat contoh yang tak baik," ujarnya.

Meskipun sudah tiada sebarang ikatan perhubungan, Sharnaaz pula berjanji akan terus menjaga persahabatan dengan Nabila demi masa depan anak mereka.


"Alhamdulilah peguam kami dapat selesaikan isu sebaiknya dan terima kasih Nabila kerana dapat kata sepakat. Apa yang tak jelas kita jelaskan dan letak di atas kertas supaya tak jadi isu satu hari nanti.

"Apa pun yang terjadi sekarang ini saya sangat bersyukur! Keutamaan kami sekarang adalah Jebat... saya masih nak berkawan dengan Nabila kerana dia kawan yang baik, tak guna nak bergaduh kerana yang rugi nanti adalah Jebat," tuturnya.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan bercerai pada 9 Julai lalu melalui hakam. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

Sebelum ini kes penceraian rumah tangga mereka dilanda kontroversi apabila sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: