13 September 2020

"SAYA SANGAT PARANOID..." - ARA JOHARI BERHATI-HATI, RASA SEMUA TEMPAT TAK SELAMAT



Semua sedia maklum mengenai laporan harian Covid-19 dalam negara yang sejak beberapa hari lalu menunjukkan peningkatan jumlah jangkitan yang tinggi semula, termasuk kewujudan beberapa kluster baharu.

Dek kerana itu, penyanyi Ara Johari, 23, mengaku dia sangat berhati-hati pada setiap kegiatan hariannya dan mengelak berkumpul serta hadir ke tempat yang sesak.

Menurut penyanyi lagu 'Paku' ini, dia perlu selalu berhati- hati kerana berasa semua tempat dikunjungi itu tidak selamat dan terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.

"Sekarang, saya memang begitu berhati-hati di mana saja berada. Malah, saya akan pastikan tidak pergi ke tempat sesak dan keluar dari rumah terlalu lama.

Klik untuk gambar besar


"Kini, saya sudah biasakan diri keluar rumah bila perlu sahaja. Saya sangat paranoid kerana sentiasa berasa mana-mana tempat yang dikunjungi tak selamat.

"Ia berikutan, kita tidak tahu situasi keselamatan di sesuatu tempat itu. Jadi, sekarang saya memang lebih selesa berhati-hati pada setiap masa," ujarnya.

Mengulas tawaran kerja untuk persembahan diambil, Ara berkata dia akan pastikan pihak penganjur mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menjaga keselamatan dan kesihatan dirinya.

Apapun, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari mengakui keadaan penularan wabak Covid-19 dalam negara, hingga kini masih lagi terkawal.


Ujarnya, dia juga menghormati sikap tanggungjawab dan memandang berat dilakukan semua masyarakat di Malaysia yang bersatu-padu cuba membendung pandemik Covid-19 ini.

Ara berkata, kita teruskanlah menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap basuh tangan dengan sabun walau di mana berada sebagai langkah keselamatan.

"Saya sangat bersyukur dan rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia. Apatah lagi, saya dapati kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) sangat komited untuk membendung pandemik ini.

"Saya akan terus mengikuti apa yang disaran pihak pemerintah selagi vaksin wabak ini belum ditemui. Penerapan 'kita jaga kita' sangat penting diutamakan," katanya.



www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Ara Johari

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: