09 October 2020

DR HAFIZ ZAINAL SAMBUNG CUTI LEBIH PANJANG, INGIN FOKUS LEBIH SERIUS MENYANYI



Peserta Big Stage 2020 (BS2020), Dr Hafiz Zainal tetap optimis untuk mengembangkan karier nyanyiannya walaupun pembabitannya dalam program realiti terbabit tidak berjaya mara ke peringkat akhir.

Hafiz berkata, dia mengakui ada terbit rasa kecewa apabila penyertaannya terhenti pada peringkat suku akhir, tapi dia enggan bersedih sebaliknya melihat dari sudut positif.

Nama Hafiz sebelum ini menjadi sebutan apabila hanya diberi dua daripada 100 markah oleh juri program berkenaan, Ajai pada konsert minggu pertama.

Hafiz yang juga doktor gigi sebelum ini pernah memberitahu dia mengambil cuti tiga bulan bagi memberikan tumpuan kepada program berkenaan.

Klik untuk gambar besar



Namun, sebaik melangkah keluar dari program itu, dia memaklumkan bakal menyambung cuti lebih panjang kerana ingin memberikan fokus lebih serius kepada bidang nyanyian.

"Insya-Allah saya akan masuk studio untuk proses rakaman tidak lama lagi. Bagi memberi fokus kepada single terbaharu, saya akan menyambung lagi cuti sebagai doktor gigi.

"Single terakhir saya menemui pendengar pada tahun lalu. Jadi, sementara orang masih mengenali saya selepas menyertai Big Stage, saya ingin menggunakan kesempatan itu untuk melahirkan single terbaharu.

"Memang tidak saya nafikan sebelum ini ramai tidak tahu saya pernah memiliki beberapa single, tetapi kurang mendapat sambutan. Jadi, memandangkan nama saya mula dikenali selepas penyertaan dalam Big Stage, saya tidak mahu melepaskan peluang," katanya.



Menurut Hafiz, bagi memberi sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian, dia berhasrat tidak menyambung kontrak di klinik gigi yang tamat pada November ini. Bukan ingin melupakan kerjaya berkenaan, sebaliknya Hafiz merancang membuka kliniknya sendiri tahun depan.

"Insya-Allah, saya merancang memiliki klinik sendiri tahun depan. Sebenarnya tempat kerja sekarang masih menawarkan untuk menyambung kontrak saya, tetapi demi mengelak timbulnya masalah di kemudian hari, saya buat keputusan tidak menyambung kontrak.

"Mudah kata tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Sementara menanti klinik sendiri direalisasikan tahun depan, saya ingin memberikan fokus sepenuhnya pada nyanyian.



Selain ingin memberikan tumpuan kepada pembikinan lagu terbaharu, saya juga ingin pastikan promosi single terbaharu kali ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, saya tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai doktor kerana ia minat saya sejak dulu," katanya.

Hafiz mengakui penyertaan dalam Big Stage mengubah laluan kerjaya seninya dan kini ramai sudah mula kenali: "Alhamdulillah selepas penyertaan dalam Big Stage, saya sudah mula nampak yang orang tidak lagi mengaitkan saya sebagai doktor. Sebaliknya mereka mula mengenali saya sebagai penyanyi

"Walaupun tersingkir, saya bersyukur kerana ramai mempertikaikan penyingkiran saya. Pada mereka, saya tidak sepatutnya tersingkir pada malam itu. Daripada respon netizen di Twitter, ramai yang suka dengan persembahan saya dan tidak berpuas hati dengan keputusan malam itu.

"Ia satu kepuasan buat saya apabila persembahan terakhir memberikan impak kepada penonton. Itu membuktikan saya mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada masyarakat. Belum tentu jika saya melangkah ke peringkat akhir, saya mampu meninggalkan impak sebegitu kepada peminat," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Dr Hafiz Zainal

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: