08 October 2020

"HANYA ALLAH DAPAT BALASNYA" - M DAUD KILAU BERSYUKUR DAPAT ELAUN BULANAN JKM



"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan bantuan yang diterima. Saya hanya mampu mengucapkan ribuan terima kasih. Tak sangka rezeki datang begini dan bantuan ini meringankan beban. Ia memudahkan urusan ke klinik dan hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

"Bukan sahaja bantuan daripada kerajaan negeri dan pihak lain, malah saya juga menerima bantuan daripada rakan dan persatuan artis. Terima kasih untuk semua, jasa kalian hanya Allah yang dapat membalasnya," tutur penyanyi jolokan, Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82, yang menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan hadapan.

Keadaan kesihatan penyanyi lagu 'Cek Mek Molek' itu kian semakin uzur apabila diuji dengan beberapa penyakit kronik sejak empat tahun lalu. Beliau mempunyai kencing manis, jantung dan kini, kurang pendengaran. Penyanyi veteran legenda itu sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta sakit pinggang.

M Daud berkata, bantuan itu dapat meringankan bebannya yang kini bergantung dengan ubat dan perlu membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk dan Hospital Teluk Intan (HTI).

Beliau ditemui pada ziarah kebajikan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk, semalam. Turut hadir, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin. Bagi M Daud, tiada istilah bersara dalam bidang seni.

Klik untuk gambar besar



"Saya sudah dilahirkan sebagai penghibur dan bergelar anak seni sejak hampir lima dekad lalu. Segala-galanya ketentuan dan perancangan Allah SWT.

"Cuma, sekiranya ditakdirkan rezeki untuk menyanyi hanya setakat ini, saya terima, bersyukur dan cukup berpuas hati kerana terlalu banyak kenangan diabadikan. Saya juga dapat membuat persembahan di seluruh negara termasuk luar negara," ujarnya.

Sementara itu, Wan Norashikin berkata, M Daud menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 di bawah skim Bantuan Orang Tua (BOT). Katanya, mereka turut menyampaikan bantuan kewangan 'one-off' Tabung Bantuan Segera (TBS) bersama barangan keperluan.

"Kehadiran sahabat dan pemimpin yang datang memberi sokongan dan bertanya khabar memberi suntikan semangat dan keceriaan kepada beliau.

"Kami prihatin dengan keadaan M Daud dan berharap dengan bantuan ini dapat meringankan bebannya. JKM juga akan sentiasa memantau keadaan beliau," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: