29 October 2020

"INGAT SEMUA TAYANG ITU BETUL-BETUL..." - JANNA NICK ANGGAP MEDIA SOSIAL TOKSIK, PEMAINAN DUNIA



Baru-baru ini menerusi satu muat naik di laman Instagram, pelakon dan pengacara Janna Nick telah berkongsikan pandangannya mengenai realiti media sosial dan menyifatkan platform media sosial memberi impak negatif terhadap kehidupan seseorang.

Menurut Janna, seseorang itu akan mula membuat perbandingan disebabkan terlalu memerhatikan perkongsian orang lain sehingga mula hilang rasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki.

"Media sosial ini yang toksik sebenarnya... kau scroll IG, duk tengok kehidupan orang. Lepas itu insecure sendiri. Mulalah bandingkan kehidupan kau dengan orang itu.

"Mulalah bandingkan kejayaan orang itu dengan setakat apa yang kau mampu capai. Paling teruk bila hilang rasa bersyukur kau itu," kata Janna menerusi laman Instagram miliknya.

Klik untuk gambar besar



Rata-rata netizen di ruang komen perkongsian tersebut turut bersetuju dengan pandangan Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 25, mengenai keburukan media sosial di masa kini.

Malah rakan selebriti seperti Eyka Farhana, Idzham Ismail, Nazrief Nazri, Ramona Zam Zam, Fadlan Hazim dan Alvin Chong juga bersetuju dengan pendapat itu.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri 'Bukan Cinta Aku' ini turut berkata, kebanyakan apa yang dikongsikan di laman sosial sekadar permainan dunia saja.



Kata Janna, tiada siapa yang mahu memuat naik perkara yang sedih atau berkongsi cerita duka kepada umum dan turut menasihati pengikutnya agar bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.

"Kau ingat semua yang orang tayang itu, betul-betul berjaya? betul-betul bahagia? betul-betul kaya? Ini semua permainan dunia. Bukan nak kata semua itu dusta semata.

"Tapi siapa yang nak upload cerita duka? Siapa yang nak kongsi kisah luka? Dah... dah, jangan fikir negatif. Jangan rasa diri kau itu kecil. Bersyukur saja dengan apa yang kau dah ada #JNbermadah," ujarnya.

Media sosial menjadi pilihan untuk semua golongan tidak kira usia mencari kenalan baharu, berkomunikasi dengan rakan dan berkongsi foto serta video aktiviti harian. Apa pandangan anda pula?




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Janna Nick

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: