18 October 2020

"JANGAN MEMFITNAH" - SARAH HILDEBRAND NAFI BAKAR TUDUNG, BUAT IG LIVE BAHAS ISU ZOUK



Nama pelakon Sarah Hidelbrand baru-baru ini menjadi bualan hangat warganet selepas mengambil keputusan membuka tudung. Selain memberikan kata-kata nasihat di laman sosial Instagram (IG) pelakon tersebut, ada juga warganet yang mengecam dan mengaitkan Sarah dengan kontroversi pelancaran tudung jenama Naelofar di Zouk, Kuala Lumpur.

Tambahan lagi pada waktu sama pemilik jenama Naelofar, Noor Neelofa turut melakukan penghijrahan dengan mengenakan niqab. Kesempatan tersebut diambil warganet untuk mengungkit tindakan Sarah ketika itu dan mendakwa pelakon berdarah kacukan ini membakar tudung-tudung berjenama Naelofar dan lantang mengkritik Neelofa di ruangan IG Live.

Sarah bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut dan meminta warganet menghentikan fitnah terhadapapnya: "Hanya dua perkara saya nak jelaskan tentang isu Zouk. Yang pertama, saya tidak bercakap tentangnya di ruangan IG Live dan yang kedua, saya tidak membakar hijab-hijab tersebut. Jangan memfitnah, terima kasih," katanya.

Klik untuk gambar besar



Selain itu, Sarah turut memohon agar nama suaminya, Otto Gillen tidak dikaitkan dengan keputusannya membuka tudung: "Satu lagi, tolong berhenti menyalahkan Otto Gillen, itu juga fitnah!" tuturnya menerusi ruangan IG Stories semalam (Sabtu).

Dalam pada itu, diruangan komen IG Stories, Sarah turut berkongsi kata-kata positif dan semangat daripada para peminat yang turut mendoakan dirinya.

Sementara itu, ketika Neelofa dipuji ramai kerana mengenakan purdah, Sarah pula menerima nasib yang sebaliknya. Menurut Sarah atau nama sebenar Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 30, dia menerima pelbagai mesej negatif termasuk dikaitkan dengan penghijrahan Neelofa.



"Saya menerima banyak mesej seperti ini! Untuk anda yang mengikuti saya sama ada ikhlas atau tidak... ini adalah contoh tentang sesuatu yang tak boleh dikatakan kepada seseorang.

"Jangan jadi macam ni. Ini bukan contoh yang baik dan saya tak mahu ada antara anda menjadi terlalu rendah sebegini (moral). Sekiranya peminat saya bersikap seperti ini, saya akan berasa malu," ujarnya.

Sarah menulis luahan hatinya itu menerusi Instastory pada Jumaat. Bersama kapsyen tersebut, dia turut memuat naik salah satu mesej peribadi yang diterima daripada netizen: "Dulu kutuk Neelofa... sekarang Lofa dah berubah ke arah yang lebih baik tapi kau pula berubah ke arah... hmmm," tulis netizen berkenaan.



Sementara itu, Sarah berkata setiap manusia boleh berubah dan apa yang penting adalah memiliki hati yang baik. Malah, dia turut memuji peminat yang sentiasa memberikan mesej-mesej positif dan mendoakan yang terbaik untuk dia dan suaminya: "Ingat sesiapa pun boleh berubah pada bila-bila masa. Akhirnya... apa yang penting ialah keikhlasan dan kesucian hati," tulisnya.

Tiga hari lalu, ramai yang terkejut apabila pelakon dan pengacara Sarah Hildebrand atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand binti Asyraf Hildebrand berkongsi sekeping gambar dirinya dan suami tanpa mengenakan hijab di IG.

Sarah yang mula bertudung sepenuhnya sejak penghujung tahun 2015 lalu itu juga, seolah-olah mahu peminat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka. Untuk makluman, Sarah berkahwin dengan jejaka berdarah kacukan Filipina dan Amerika Syarikat itu pada 3 November tahun lalu.







www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, mStar & Instagram Sarah Hildebrand

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: