25 October 2020

"KASIHANLAH KRU & PELAKON OKU..." - SYAHMI SAZLI TERKILAN ADA MENGAKU TONTON 'MAEL TOTEY' CARA HARAM



"Saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak Astro semalam (Jumaat) mengatakan filem itu berjaya mengutip RM700,000 dalam masa satu hari ditayangkan.

"Memang tak jangkakan dapat sambutan sebegitu memandangkan filem itu menggunakan barisan pelakon tak ada nama dalam industri dan tak pandai berlakon.

"Walaupun filem itu dikira berjaya pecah tradisi tapi sejujurnya saya rasa terkilan dengan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan filem itu secara haram," kata youtuber yang kini bergelar pengarah filem, Syahmi Sazli.

Baru dua hari ditayangkan di Astro First, filem pertama arahan Syahmi iaitu 'Mael Totey The Movie' telah menjadi perbualan ramai. Tanpa menggunakan barisan pelakon terkenal, filem ini berjaya mengutip RM700,000 dalam masa satu hari ditayangkan di saluran Astro First.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, Syahmi meluahkan rasa terkilan apabila 'Mael Totey The Movie' itu turut menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan secara haram. Terdahulu, Syahmi memuat naik paparan skrin mesej daripada individu yang mengakui menonton filem sulungnya itu secara haram tanpa bayaran.

Menerusi mesej tersebut, individu tersebut memohon maaf kepada Syahmi selepas menyesali perbuatannya menonton filem yang penuh mesej pengajaran itu secara haram.

Dalam pada itu, Syahmi yang berasal dari Kelantan ini berharap orang ramai menghormati dan menghargai usaha keras dia dan seluruh warga kerja filem tersebut.



"Setidak-tidaknya, kasihanlah kepada barisan kru dan pelakon istimewa yang bekerja keras menghasilkan yang terbaik. Mereka bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam.

"Filem ini pun saya hasilkan dengan menggunakan duit dari hasil titik peluh saya sendiri tanpa menggunakan dana daripada mana-mana pihak.

"Saya juga menyimpan hasrat untuk memberikan bonus kepada seluruh tenaga kerja sekiranya filem ini mendapat keuntungan. Tapi kalau anda cetak rompak, macam mana nak dapat untung?

"Kalau ada yang minta maaf... tak apa la. Kalau ada rasa bersalah, langganlah semula filem itu di Astro First. Tapi kalau ada yang berbangga tonton secara haram, saya akan ambil tindakan selanjutnya," ujarnya.



Namun, apa yang peliknya ramai juga yang meminta maaf selepas menonton filem tersebut. Berkemungkinan mereka 'tersentak' dengan beberapa dialog Syahmi mengenai sikap penonton yang suka menyokong cetak rompak.

"Saya mohon maaf dan minta halal jika tengok yang cetak rompak. Kalau perlu bayar saya boleh bayar kerana kualiti cerita sangat baik, ikhlas dari saya," tutur seorang pengguna Instagram menerusi ruang komen.

"Rasa bersalah dan menyesal terutama filem ini penuh pengajaran dan unsur dakwah. Saya dengan rasa rendah diri menyesali perbuatan mohon produksi Syahmi Sazli," kata seorang lagi individu.

Tidak melatah dengan permohonan maaf tersebut, Syahmi sebaliknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengikuti perbuatan tersebut.


"Kalau saya halalkan, nanti akan jadi ikutan ramai. Abang kena hormati saya dan krew berpanas selama 14 hari. Setidak-tidaknya abang kesianlah empat orang istimewa tu. Tak apa abang boleh langgan Astro yang sah," ujarnya.

'Mael Totey The Movie' mengangkat genre drama komedi sudah menemui penonton di pawagam rumah anda, Astro First bermula Khamis lalu.

Menarik filem ini menampilkan empat pelakon istimewa iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi, Samsul Anuar atau Bedul dan Yatin atau nama sebenarnya Mohd Yatin.

Selain itu, filem ini turut dibintangi bakat baharu iaitu Emaleen Minhad, Aween Ismail dan pelakon terkenal seperti Hushairi Husain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan Kamarool Yusoff.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak & Instagram Syahmi Sazli

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: