16 October 2020

MENGAKU KERETA DISITA SPRM MILIKNYA - SHUIB RASA SYUKUR SUDAH DIKEMBALIKAN



"Ya memang kereta yang tular tempoh hari milik saya. Alhamdulillah kereta itu sudah dikembalikan," kata pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu yang mengakui kereta yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah miliknya.

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila tular foto berpuluh kereta mewah yang disita oleh SPRM bagi membantu siasatan berkenaan sindiket Macau Scam. Malah, kecoh apabila ada yang mendakwa salah satu kereta yang tular adalah milik Shuib.

Shuib berkata sudah menjadi kewajipannya untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa: "Saya tahu pelbagai fitnah yang bertebaran di laman sosial buat masa ini, namun perlu saya hormati pihak berkuasa yang masih menjalankan siasatan.

"Tiada komen lain yang ingin saya kongsi selain mahu memberi fokus buat kerjaya dan perniagaan saya kini," ujar suami kepada penyanyi Siti Sarah Raissuddin ini.

Klik untuk gambar besar



Berhubung memuat naik gambarnya bersama kereta yang telah dikembalikan itu di laman Instagram semalam, Shuib berkata dia bukannya mahu riak sebaliknya bertujuan untuk meluahkan rasa syukur selepas berdepan dugaan.

"Bukan mahu riak, tetapi jelas menunjukkan betapa saya dan isteri sangat bersyukur dapat melalui dugaan ini bersama. Banyak yang saya belajar sebenarnya, bagaimana satu gambar juga mampu menimbulkan pelbagai spekulasi," jelasnya.

Beberapa minggu lalu, Shuib dan Sarah menjadi perhatian apabila dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram yang turut membabitkan beberapa orang kenamaan dan VIP.



www.myartis.com / Sumber & foto: Utusan Online & Instagram Shuib Sepahtu

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: