07 October 2020

PENGARAH 'DEMI' TERIMA RIBUAN MESEJ KECAMAN, DITUDUH PUNCA PELAKON & KRU POSITIF COVID-19



"Selepas saya dan beberapa pelakon serta kru disahkan positif Covid-19, saya menerima ribuan mesej di media sosial... setiap hari orang mendoakan saya mati. 

"Saya terima pelbagai mesej kecaman, saya tunjuk mesej itu dekat pesakit sebelah... mereka hentam saya macam mereka malaikat, tak jaga hati orang lain. Saya hanya mampu istigfar sendiri dan senyum sajalah!

"Yang menyalahkan saya mungkin mereka ini tak faham situasi dalam sesebuah produksi. Sejujurnya saya tak sedih atau kecil hati pun! Kami semuanya positif sahaja dan anggap apa berlaku pasti ada hikmahnya," demikianlah kata pengarah Rahila Ali.

Rahila yang disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di hospital pada awal April lalu itu mendedahkan dia menerima pelbagai mesej kecaman daripada netizen di laman sosial.

Klik untuk gambar besar



Menurut Rahila, ada yang menuduhnya sengaja mengabaikan soal keselamatan pelakon dan kru produksi kerana mengadakan penggambaran di luar negara ketika seluruh dunia sedang berdepan peningkatan kes wabak berkenaan.

Pada 7 April lalu, Rahila dan empat kru produksi drama 'Demi' yang menjalani penggambaran drama 'Demi' di Inverness, Scotland disahkan positif Covid-19.

Turut positif penyakit itu ialah tiga pelakon drama tersebut iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim dan pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa.

Sementara itu, Rahila mengakui kondisi tubuhnya berbeza selepas dijangkiti virus tersebut, dia mudah berasa letih dan masalah rabun yang semakin teruk.

"Alhamdulillah sekarang dah sembuh sepenuhnya cuma saya dapat rasa tahap kecergasan saya sudah berubah, saya cepat rasa letih dan tidak seaktif dulu. Masalah rabun pun semakin teruk, dulu pakai cermin kalau membaca sahaja tapi sekarang memang perlu pakai sentiasa.

"Saya akui trauma, nak keluar rumah pun takut! Malah, dekat set penggambaran pun saya paksa semua team produksi jaga jarak dan cuci tangan sentiasa!" ujarnya.



www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Ashraf Muslim & Puteri Aishah

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: