03 October 2020

SERIK DENGAN KONTROVERSI - WANI KAYRIE LEBIH BERHATI-HATI, TAK MAHU PISANG BERBUAH DUA KALI



"Biarpun insiden itu terjadi Jun lalu, ia memberi kesan sehingga sekarang. Sejak peristiwa itu saya menapis kandungan yang mahu dimuat naik. Secara jujurnya, kejadian itu memberi impak kepada emosi saya. Puncanya ketika perkara itu berlaku, saya masih terikat dengan penggambaran drama Dayang Senandung.

"Disebabkan terlalu terkesan, saya meminta pengurus membatalkan penggambaran itu atau maksudnya, saya mahu menarik diri. Mana tidaknya, video itu tersebar luas sehingga ke luar negara. Saya sangat sedih apabila mendapat tahu individu yang menyebarkan video itu adalah orang kita.

"Padahal mereka tahu Dayang Senandung adalah cerita rakyat," kata penyanyi Wani Kayrie yang mengakui serik memuat naik entri yang dikatakan menyentuh sensitiviti golongan tertentu selepas kali pertama dihambat kontroversi hingga menjejaskan nama baik dan imej bersihnya.

Enggan pisang berbuah dua kali, Wani lebih berhati-hati dalam berkongsi rutin dan perkembangan harian dalam laman sosial. Wani atau nama sebenar, Syazwani Abdullah, 20, mengaku kontroversi klip video TikTok yang memaparkan dirinya yang disolek hitam menari, dikecam netizen, memberi pengajaran besar buat dirinya.

Kontroversi bertambah hangat apabila ketika video itu dikongsi Wani, kes pembunuhan lelaki kulit hitam dikenali sebagai George Floyd di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan sebagai mangsa perkauman, heboh diperkatakan.

Klik untuk gambar besar


Rentetan itu, video TikTok Wani terkait sama hingga dikecam penonton di luar negara. Risau dengan impak kontroversi itu, pelajar jurusan undang-undang dan perdagangan di Management & Science University (MSU), Shah Alam, ini menjauhi laman sosial buat sementara waktu. Malah, demi menjaga keselamatan diri, Wani membuat laporan polis.

"Saya mendiamkan diri dari laman sosial lebih seminggu. Kejadian itu membuatkan saya takut hendak keluar rumah biarpun pergi ke universiti kerana diperli pelajar lain.

"Lebih menyedihkan, ada yang meminta pihak universiti membatalkan biasiswa dan menyingkirkan saya. Disebabkan perkara itu, kami membuat laporan polis demi keselamatan," tuturnya.

Wani bersyukur tidak lama selepas itu, kontroversi Dayang Senandung mulai senyap: "Alhamdulillah, lama-lama senyap. Apabila saya membaca Twitter, ramai yang faham keadaan saya. Diharapkan perkara ini tidak berlanjutan sehingga memberi kesan kepada tayangan drama Dayang Senandung, akhir tahun ini," katanya.

Kali pertama melakonkan watak utama, Wani memberitahu, penggambaran drama terbabit bermula awal tahun ini: "Penggambaran terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika saya memuat naik video pada awal tahun, tiada yang kecam.


"Jadi, saya belajar untuk mengambil tahu isu semasa agar peka dengan apa yang terjadi," ujarnya yang kini tampil dengan lagu terbaru, 'Aksara Cinta' dan video muziknya telah dilancarkan, kelmarin.

Sementara itu, bertanya mengenai perkembangan hubungan bersama penyanyi Afieq Shazwan, Wani masih memberi jawapan sama, iaitu mereka sekadar kenalan.

"Kami hanyalah kawan. Kami tidak fikir untuk serius kerana masing-masing sedang belajar dan berusaha untuk menguatkan nama dalam industri.

"Saya tidak mahu terikat dalam hubungan sebab ia menuntut komitmen yang tinggi. Jadi, biarlah saya fokus kepada pelajaran berikutan pengajian saya agak berat," katanya yang sudah berkawan dengan Afieq sejak kecil lagi.

Wani dan Afieq mula berkenalan ketika Wani menyertai program Bintang Kecil terbitan RTM, manakala Afieq pula menjadi pengacara di stesen televisyen (TV) itu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Wani Kayrie

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: