07 October 2020

SUAMI DEDAH 3 BULAN DUDUK BERASINGAN, DAKWA CURANG 2 LELAKI - NADIA BRIAN ENGGAN BUKA AIB



Jika sebelum ini pergolakan rumah tangga pelakon Nadia Brian dan suaminya, Muizz Nasruddin menjadi teka-teki, namun kini persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila suami Nadia mendedahkan mereka sudah tiga bulan tinggal berasingan.

Muizz ketika dihubungi berkata, dia sudah cuba sedaya-upaya menyelamatkan rumah tangga mereka, namun menemui jalan buntu. Muizz yang berkahwin dengan Nadia kurang setahun lalu berkata, ketika ini isterinya tinggal di rumah ibunya.

"Status kami sehingga kini masih suami isteri, tapi hampir tiga bulan isteri tidak tinggal bersama di rumah saya. Saya tak pernah halau dia dan sudah berkali-kali meminta dia balik tapi dia tidak mahu.

"Saya cuba untuk menghubungi ibu dan keluarga dia untuk selesaikan masalah, tapi sia-sia. Saya cuba yang terbaik untuk menyelamatkan perkahwinan ini tapi dia tidak memberi kerjasama," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Muizz, segala perkongsiannya di laman Instagram sebelum ini yang mengatakan dirinya dikhianati dan dianiaya itu adalah benar.

"Perkongsian di Instagram sebelum ini memang benar. Saya dihina, dihalau, dikhianati dan dianiaya. Saya ada bukti yang cukup mengatakan isteri saya berlaku curang terhadap saya.

"Saya ambil keputusan untuk keluarkan kenyataan sebab dia sudah berlebihan dengan memalukan saya dan tidak menghormati saya sebagai suami serta keluarga saya.



"Dalam masa sama, dia memberitahu orang dalam industri hiburan semua yang berlaku adalah salah saya kerana tak sediakan kehidupan yang dia mahukan. Saya sangat-sangat kecewa," katanya yang melihat perceraian adalah pilihan terakhir yang dimilikinya.

Terdahulu, Muizz enggan mengulas mengenai dakwaan pelakon Aidit Noh menjadi orang ketiga dalam hubungan mereka. Muizz juga sebelum ini ada memuat naik gambar dan kapsyen berbaur kekecewaan sehingga mengundang pertanyaan dalam kalangan netizen berhubung status rumah tangga mereka.

Untuk makluman, Muizz dan Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 29, mendirikan rumah tangga pada 9 November tahun lalu di Magica Hall, Shah Alam.



Sementara itu, Nadia ketika ditanya berhubung perkara ini berkata yang dia enggan membuka aib mana-mana pihak berhubung masalah rumah tangganya dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin.

Nadia turut memohon supaya semua pihak mendoakan yang terbaik untuk perkahwinan yang baru dibina tidak sampai setahun itu.

"Saya mohon doakan yang baik-baik buat kami. Saya tidak suka berkongsi hal peribadi di media sosial. Apa yang Muizz nak cakap, tak apalah. Kami berkahwin belum sampai setahun dan proses kami kenal pun tak lama seperti pasangan lain.



"Ibu saya juga ada pesan supaya tidak mengaibkan sesiapa. Saya tak nak ulas panjang sebab isu ini terlalu peribadi, bimbang timbul fitnah," tuturnya.

Menurut Nadia, masalah rumah tangga mereka bukan isu penting yang perlu diberi perhatian, sebaliknya fokus harus diberikan kepada peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ketika ini.

"Isu babitkan saya ini hanyalah masalah kecil, namun apa yang lebih penting adalah isu-isu dunia yang berlaku ketika ini. Sekarang ini masalah yang paling membimbangkan kita adalah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat. Saya mohon kita semua untuk menjaga penjarakan fizikal dan cuba hentikan penyebaran virus ini," ujarnya.



www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: