27 November 2020

DITAHAN ATAS DAKWAAN MEROGOL - DA'I SYED DIREMAN 5 HARI



Pendakwah dan penyanyi Da'i Syed yang sebelum ini membuat laporan polis atas dakwaan fitnah merogol gadis, kini telah ditahan oleh pihak polis pada Khamis malam dan direman lima hari bermula Jumaat sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Sahat, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar pukul 11 malam selepas hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 25 tahun itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Zamir Suhaimee pada Jumaat. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Suspek yang dicungkil bakat menerusi sebuah rancangan realiti keagamaan hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 9.45 pagi bersama peguam, Syed Amirul Syed Edrus dilihat memakai baju berwarna hijau.

Klik untuk gambar besar



Pada malam Khamis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan memberitahu pendakwah tersebut ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah itu.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang berusia 23 tahun pada pukul 7.18 malam, Rabu lalu. Pendakwah itu didakwa melakukan perbuatan jijik tersebut di Studio I-Soho, Seksyen 7, Shah Alam dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

"Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.



"Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar daripada penyakit kemurungan.

"Mangsa telah dirogol oleh suspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut," katanya.

Menurut Baharudin lagi, sehari selepas kejadian iaitu pada 12 September 2019, sekitar pukul 6.40 pagi, suspek didakwa memberikan amaran kepada mangsa supaya merahsiakan apa yang berlaku dan memberi amaran yang mangsa sentiasa dipantau pada setiap masa.

Tambahnya lagi, suspek terus menghantar mangsa ke bawah lobi apartment dan mangsa menaiki Grab untuk pulang ke rumah sewa mangsa di Subang Jaya.



Bagaimanapun pada 23 September 2019 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan serta dirujuk ke rawatan psikiatri.

Seterusnya mangsa telah pulang ke rumah keluarganya di Pahang serta mendapat rawatan selama lima hari di wad psikitari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

"Pada Oktober 2019, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan di wad psikiatri selama lima hari.

"Pihak Hospital Temerloh mengatakan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat daripada kejadian tersebut dan sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital yang sama," jelasnya.



Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek yang ditahan di lokap IPD Shah Alam direman pagi Jumaat untuk membantu siasatan lanjut.

Pada Selasa lalu, Da'i Syed tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol seperti yang ditularkan di Twitter.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail turut memuat naik kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan di Instagram pada Rabu lalu.

Sebelum ini, bapa kepada pendakwah muda itu iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail menerusi laman Facebook mengakui sudah lama mendengar berita buruk yang membabitkan anaknya.

Malah, dia turut mendedahkan anaknya mengabaikan segala mesej yang dihantarnya sejak dua tahun lalu. Berikutan dakwaan yang tular, Syed Mohammad Shaiful menasihati agar pihak yang mendakwa menjadi mangsa segera melaporkan kepada pihak berkuasa.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Da'i Syed

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: