02 November 2020

IBU LUAH RASA SYUKUR - TERIMA CINCIN & DIRISIK, NEELOFA & PU RIZ BAKAL NIKAH MAC 2021?



Nampaknya dalam masa terdekat, teka-teki mengenai hubungan istimewa Noor Neelofa dan PU Riz bakal terjawab selepas keluarga kedua-dua pihak mengadakan pertemuan pada Ahad.

Difahamkan kunjungan keluarga PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, adalah bagi merisik pelakon, pengacara dan usahawan berkenaan.

Sungguhpun tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak, namun ibu Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed memberi bayangan mengenai berita gembira berkenaan.

Menerusi muat naik di Instagram, Noor Kartini melahirkan rasa syukur kerana kehadiran seseorang yang bakal melengkapi hidup anak kesayangannya itu.

Klik untuk gambar besar



"Syukur ku padamu Ya Rabb. Saat yang ku tunggu-tunggu dah pun tiba. Kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayanganku.

"Aku yakin dengan ketentuanmu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya, yang akan menyokong setiap apa saja urusannya.

"Ya Allah jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewa di syurga Mu nanti. Neelofa ku sayang, jantung hatiku, intan permataku, setiap detik dan setiap saat mama mendoakan yang terbaik untukmu sayang.

"Mama sayang awak sangat," tulis Noor Kartini di laman Instagram miliknya pada Ahad yang turut memuat naik foto dia disamping Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 31, dan PU Riz.



Sementara di Insta Stories pula, Kartini turut memuat naik beberapa foto sekitar pertemuan selain turut mengharapkan agar ikatan terjalin dirahmati: "Semoga ikatan ini dirahmati Allah, Amin...," tulisnya ringkas.

Difahamkan sebuah majlis diadakan di kediaman Noor Kartini di Petaling Jaya, di mana jumlah tetamu dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Dikatakan majlis yang dihadiri kira-kira 20 tetamu itu bagi menyempurnakan acara merisik.

Terdahulu menerusi laporan media, sumber keluarga pasangan berkenaan memberitahu, Neelofa yang baru-baru ini membuat keputusan untuk berniqab menerima sebentuk cincin sebagai tanda dia sudah disunting.

Pada masa sama, tindakan kakak kepada Neelofa iaitu Noor Nabila dan sepupunya, Qalisha Arya berkongsi foto bersama pasangan itu menguatkan lagi spekulasi mengenai majlis tersebut.



Media juga melaporkan sumber memberitahu PU Riz merisik Neelofa selepas menunaikan solat Asar bersama. Keduanya dikatakan akan menikah sekitar Mac 2021.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada pihak Neelofa dan usaha mendapatkan pengesahan PU Riz gagal apabila dia tidak membalas mesej.

Hubungan Neelofa dan PU Riz mula menjadi tanda tanya selepas kakak Neelofa, Noor Nabila memuat naik foto pasangan itu memakai pakaian sedondon pada majlis perkahwinan adik mereka pada September lalu.

Sekitar Oktober lalu, Neelofa membuat keputusan untuk tidak terlalu terbuka berkongsi mengenai hubungan peribadinya dengan mana-mana individu. Nabila memuat naik foto Neelofa dan Riz berpakaian sedondon pada majlis perkahwinan adik Neelofa, baru-baru ini.











www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Media Hiburan & Astro Gempak, Astro Awani, Instagram Noor Kartini, Noor Neelofa & Qalisha Arya

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: