23 November 2020

PUTERI SARAH AKUI 2 BULAN TAK SEBUMBUNG: "DIA TAHU SEBAB APA...."



Semua sedia maklum mengenai kemelut rumah tangga pelakon dan pengarah terkenal Syamsul Yusof dan isterinya, pelakon Puteri Sarah Liyana yang ketika ini hangat diperkatakan.

Sebelum ini, Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 36, mengakui yang dia dan isteri kini memang sudah tidak tinggal sebumbung. Bagaimanapun, Syamsul memaklumkan dia tidak pernah cuba menyembunyikan perkara itu sebelum ini.

Syamsul dalam masa sama berkata, mereka masih dalam proses memperbaiki hubungan. Tambah Syamsul, selain terus berdoa kepada Allah SWT untuk keharmonian semula rumah tangganya, dia juga berharap peminat dan rakan-rakan mendoakan yang baik-baik buat mereka.

Terkini, Puteri Sarah, 35, yang turut tampil mengakui sudah dua bulan tidak tinggal sebumbung dengan suami. Puteri Sarah berkata, tiada sebab untuk dia berbuat sedemikian sekiranya 'masalah' yang paling ditakuti dalam perhubungan rumah tangga tidak berlaku.

Klik untuk gambar besar



Namun, Puteri Sarah enggan berkongsi lanjut 'masalah' dimaksudkannya itu. Ujarnya, Syamsul tahu mengapa dia bertindak keluar dari rumah.

"Dia (Syamsul) tahu sebab apa saya keluar rumah dan dia juga tahu sebab apa saya 'dingin'. Apabila keluar cerita sebegini, saya percaya ada pihak lain yang suka.

"Dalam perkara ini, saya tidak mahu dianggap punca terhadap apa yang berlaku sekarang. Tentu saja sebagai lelaki, suami dan ketua rumah tangga dia perlu bertanggungjawab di atas semuanya. Itu yang saya harapkan," katanya.



Ditanya sejauh mana kebenaran perkongsian di Instagram Story baru-baru ini mengenai kisah curang dan orang ketiga dalam perkahwinan berlaku pada dirinya, Sarah juga enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini, tapi cukup untuk saya katakan ada 'masalah' yang wujud dalam rumah tangga kami," tuturnya.

Ditanya lagi sama ada 'masalah' itu membabitkan orang ketiga, ini jawab Sarah: "Soalan ini kena tanya pada dia," ujarnya ringkas.



Bagaimanapun, Sarah berkata walau apa pun yang terjadi sekarang dan selepas ini, dia masih menyayangi perkahwinan mereka yang sudah dibina sejak enam tahun lalu.

"Tiada siapa mahukan masalah dan perpisahan. Saya tetap berdiri di belakang dan menyayangi dirinya sebab dia adalah syurga saya," katanya.

Untuk makluman, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, setahun lapan bulan.







www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Puteri Sarah Liyana & Syamsul Yusof

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: